PENIAGA kedai runcit dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi atas pertuduhan membunuh lelaki. FOTO Mohd Azren Jamaludin
PENIAGA kedai runcit dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi atas pertuduhan membunuh lelaki. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mary Victoria Dass


PENIAGA kedai runcit didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, hari ini atas pertuduhan membunuh lelaki di Jalan Kampung Baru Sungai Mas, Bandar Penawar, Kota Tinggi.

Tertuduh, Alemi Azuan Sanip, 29, yang berasal dari Felda Air Tawar 4, Kota Tinggi didakwa melakukan perbuatan itu antara 7.30 malam pada 3 Disember hingga 12 tengah hari, 4 Disember lalu.

Dia didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian terhadap Chew Kah Chun, 24.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sekiranya disabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Tiada pengakuan direkodkan manakala tertuduh mengangguk memahami pertuduhan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Noor Dayana Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Mahkamah Sesyen, Zahilah Mohammad Yusoff menetapkan 28 Januari sebagai tarikh sebutan semula bagi mendapatkan laporan kimia.

Ahli keluarga tertuduh termasuk isterinya dilihat berada di perkarangan mahkamah.

Pada 14 Disember lalu, Harian Metro melaporkan penemuan mayat lelaki di tepi jalan Kampung Baru Sungai Mas, Kota Tinggi, dipercayai sudah ditinggalkan beberapa hari di lokasi itu.

Lelaki itu, Chew Kah Chun, dilaporkan gagal dikesan selama 11 hari iaitu sejak keluar dari rumah di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, pada 3 Disember lalu.

Berita berkaitan:

Ditemui mati selepas 11 hari hilang

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 1:31 PM