GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Seorang peniaga kedai runcit terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi Johor Bahru di sini, hari ini mengetepikan sabitan salah terhadap pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki, tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Alemi Azuan Sanip, 35, yang berasal dari Felda Air Tawar 4, Kota Tinggi di sini, diputuskan bebas atas pertuduhan berkenaan selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah atas kes pendakwaan.

Keputusan dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar di akhir kes pembelaan selepas mempertimbangkan pembelaan tertuduh dan memperhalusi penghujahan bertulis.

Dalam penghakiman, Datuk Abu Bakar Katar berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan melampaui keraguan yang munasabah iaitu tertuduh menyebabkan kematian atas mangsa.

"Mahkamah merekodkan tertuduh tidak bersalah dan dilepas dan bebas atas pertuduhan.

"Semua eksibit melainkan dokumen akan diserahkan kepada polis untuk simpanan selamat sehingga rayuan (jika ada) dilupuskan," katanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohamad Ghazali manakala tertuduh diwakili peguambela, Hazza Khalid.

Muhammad Syafiq ketika ditemui berkata, pihaknya akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan di atas keputusan pembebasan Alemi dalam kes pembunuhan itu.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, pada 26 Disember 2017 atas pertuduhan membunuh Chew Kah Chun, 24, di Jalan Kampung Baru Sungai Mas, Bandar Penawar, Kota Tinggi.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara jam 7.30 malam pada 3 Disember hingga 12 tengah hari, 4 Disember 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Pada 14 Disember 2017, Harian Metro melaporkan penemuan mayat lelaki di tepi jalan Kampung Baru Sungai Mas, Kota Tinggi, dipercayai sudah ditinggalkan beberapa hari di lokasi itu.

Kah Chun dilaporkan gagal dikesan selama 11 hari iaitu sejak keluar dari rumah di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, pada 3 Disember 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 1:16 PM