Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas. - Foto - MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas. - Foto - MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK
Helmy Abd Rahman


SEBAIK keluar penjara tujuh bulan lalu, seorang lelaki meneruskan kegiatan jenayahnya, terbabit dalam lapan kes meragut dan menyamun sekitar di Kuala Terengganu.

Namun, bekas banduan yang dikenali sebagai ‘Abang Sang’ dan dibebaskan April lalu, berjaya ditahan Khamis lalu, tidak sampai 10 jam selepas menyamun dua mangsa.

Ketua Polis daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, dalam kejadian pertama Khamis lalu, suspek berasal dari Kampung Binjai, Simpang Empat, Chendering, meragut beg dalam bakul motosikal seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun.

Mangsa ketika itu menunggang motosikal bersama rakannya di Kampung Kolam, kira-kira 1 tengah hari.

“Mangsa menyedari suspek yang menunggang motosikal Honda EX5 mengekorinya, malah ikut dengan rapat sebelum dia meragut beg dalam bakul motosikal.

“Mangsa yang mengejar suspek, menemui beg mengandungi buku teks miliknya dibuang lelaki itu dalam longkang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, hari ini.

Menurutnya, dalam kejadian kedua kira-kira setengah jam kemudian, suspek meragut beg tangan penuntut kolej dalam raga motosikal di Jalan Pasir Panjang.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa kehilangan dompet, wang tunai RM50 dan dua telefon bimbit," katanya.

Susulan laporan dibuat mangsa dan hasil maklumat awam, sepasukan tujuh anggota IPD Kuala Terengganu berjaya menahan suspek bersama seorang rakan berusia 17 tahun bersamanya di tepi jalan di Kuala Ibai, pada 10 malam Khamis lalu.

Idris berkata, ketika ditahan, polis merampas motosikal Honda EX5, 20 kad sim dan satu telefon bimbit, dompet serta empat kad memori telefon dipercayai milik mangsa samunnya.

“Abang Sang mengaku melakukan dua jenayah itu selain enam lagi kes ragut sekitar Kuala Ibai dan Batu Buruk, sejak April lalu selepas dibebaskan daripada penjara kerana kesalahan dadah dan samun.

“Ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah methamphetamine. Suspek berusia 17 tahun turut memiliki rekod jenayah curi," katanya.

Menurut Idris, kedua-dua suspek kini direman lima hari sehingga esok (Selasa) bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 7:30 PM