Zatul Iffah Zolkiply


SAMUN dan ditinggalkan di tepi jalan. Itu taktik digunakan empat ahli Geng Van Putih yang aktif menyamun dengan mensasarkan warga asing sejak November lalu.

Bagaimanapun, kegiatan empat lelaki berusia antara 24 hingga 34 tahun itu terbongkar selepas mereka ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar Kuala Terengganu kelmarin.

Mereka ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas menyamun dua lelaki masing-masing warga Rohingya dan Bangladesh jam 10.30 pagi dan 2.30 petang kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, kejadian pertama membabitkan lelaki berusia 37 tahun di belakang sebuah kedai elektrik di daerah itu.

Beliau berkata, mangsa yang berjalan berseorangan didatangi suspek dan bertanya sama ada mangsa mempunyai permit sebelum dia ditarik masuk ke dalam van putih.

“Ketika berada di dalam van, mangsa dipukul dan beg duit miliknya yang mengandungi wang tunai RM400 serta dua telefon bimbit jenis Samsung J2 dan Nokia 105 dirampas sebelum ditinggalkan di tepi jalan di Kuala Ibai.

“Kejadian kedua berlaku di tepi jalan Sultan Zainal Abidin berhampiran tapak pembinaan membabitkan lelaki warga Bangladesh berusia 28 tahun.

“Mangsa yang berseorangan ditarik masuk ke dalam van dan dipukul sebelum ditinggalkan di tepi jalan di Marang sementara barangan berharga seperti wang tunai dan telefon bimbit dilarikan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu hari ini.

Suffian berkata, gerakan memburu suspek dijalankan susulan laporan diterima dan membawa kepada penahanan suspek pertama berusia 24 tahun di Jalan Sultan Omar jam 9.30 malam hari sama.

Katanya, soal siasat membawa kepada penahanan tiga lagi suspek di sekitar daerah itu antara jam 10 malam hingga 11 malam.

“Kita turut merampas sebuah van putih milik ahli keluarga kepada suspek pertama, telefon bimbit, pakaian yang digunakan ketika melakukan jenayah samun dan wang tunai RM600.

“Tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine kecuali suspek berusia 34 tahun yang ada rekod lampau berkaitan judi.

“Mereka mengaku melakukan empat jenayah samun membabitkan warga asing pada hari kejadian dan kita percaya dapat menyelesaikan beberapa kes samun yang berlaku di daerah ini tahun lalu susulan penahanan mereka.

“Suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 5:41 PM
Suffian (kanan) memeriksa kenderaan yang dirampas. FOTO Ghazali Kori
Suffian (kanan) memeriksa kenderaan yang dirampas. FOTO Ghazali Kori