GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


PENGANGGUR lelaki ditahan ketika cuba meragut rantai leher dipakai lelaki di kawasan tempat letak kereta di Kampung Cina, Kuala Terengganu, hari ini.

Suspek berusia 31 tahun itu ditahan mangsa yang berusia 56 tahun selepas terjatuh dari motosikal ditunggangnya dalam kejadian 8.30 pagi tadi.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa mahu masuk ke dalam keretanya sebelum tiba-tiba rantai leher dipakainya diragut dari belakang oleh lelaki menunggang motosikal.

Katanya, mangsa berjaya memegang tangan suspek menyebabkan lelaki itu jatuh daripada motosikal ditunggangnya.

"Suspek berjaya ditahan mangsa dengan bantuan orang ramai sebelum diserahkan kepada polis yang tiba tidak lama kemudian," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek yang mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kes curi motosikal.

Katanya, suspek yang positif dadah jenis methamphetamine kini direman selama enam hari sehingga 29 Julai ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana menyamun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2017 @ 9:14 PM