GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


MEMPUNYAI masalah kewangan termasuk hutang yang perlu dijelaskan mendorong seorang lelaki mengambil jalan mudah dengan melakukan jenayah ragut di sekitar Kepala Batas.

Bagaimanapun, kegiatannya itu tidak bertahan lama apabila dia akhirnya dicekup polis beberapa minit selepas meragut mangsa di Jalan Permatang Manggis, di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang mangsa lelaki berusia 28 tahun memaklumkan kejadian ragut yang menimpanya.

“Mangsa memberitahu ketika melalui jalan terbabit pada 11.30 pagi semalam, dia yang sedang menunggang motosikal bersendirian didatangi suspek berusia 32 tahun yang terus meragut beg galas yang diletakkan dalam raga motosikalnya.

“Selepas itu, mangsa cuba mengejar suspek, namun tidak berjaya sebelum datang ke balai membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam insiden itu, suspek melarikan beg galas milik mangsa yang mengandungi dompet, dokumen penting dan dua unit telefon bimbit.

Noorzainy berkata, susulan daripada laporan yang diterima beberapa minit kemudian polis berjaya menahan suspek hasil bantuan daripada orang awam.

“Siasatan terhadap suspek mendapati dia melakukan kegiatan ragut dengan menjadikan warga asing sebagai sasaran kerana mempunyai masalah kewangan dan hutang.

“Polis merampas semua hasil yang diragut untuk tindakan lanjut dan ujian saringan air kencing ke atas suspek turut mendapati dia positif dadah,” katanya.

Menurutnya, suspek yang mempunyai lima rekod jenayah lampau kini ditahan untuk siasatan dibawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 3:21 PM