SEBAHAGIAN daripada barang yang berjaya dirampas setelah suspek kes ragut berjaya ditahan. FOTO Eizairi Shamsudin
SEBAHAGIAN daripada barang yang berjaya dirampas setelah suspek kes ragut berjaya ditahan. FOTO Eizairi Shamsudin
Aizat Sharif


Arau: Seorang penuntut sebuah universiti awam di Arau ditahan kerana terbabit dengan empat kejadian ragut di sekitar daerah itu sepanjang bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superitendan Nanda Maarof berkata, penahanan suspek lelaki berusia 21 tahun itu dibuat pada jam 3.30 pagi tadi di asrama lelaki universiti berkenaan.

“Selepas laporan polis diterima, kita menubuhkan satu pasukan ‘task force’ bagi menyiasat empat kes ragut yang berlaku di sekitar Arau dan Pauh sejak sebulan lalu.

“Siasatan kita akhirnya membawa kepada penahanan seorang pelajar tahun akhir berusia 21 tahun dari Baling, Kedah yang menuntut di sebuah universiti awam di Arau,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, hari ini.

Tambahnya lagi, modus operandi suspek adalah suspek akan melakukan jenayah ragut itu pada waktu malam menggunakan dengan motosikal Honda EX5.

“Suspek kemudian mengekori mangsa yang kebanyakkannya wanita yang sedang menunggang motosikal dan apabila melalui satu laluan yang gelap, suspek akan menutup lampu motosikalnya sebelum meragut barangan yang terdapat pada motosikal mangsa,” katanya lagi.

Nanda berkata, lazimnya mangsa terutama wanita sering meletakkan tas tangan atau dompet mereka di bakul hadapan motosikal mereka dan ia memberi peluang kepada suspek untuk terus meragut mangsa sebelum memecut laju.

“Antara barangan samun yang ditemui bersama suspek adalah beberapa telefon bimbit, dompet, dokumen pengenalan diri mangsa dan kunci motosikal,” katanya lagi.

Kerugian dianggarkan sekitar RM6,000 dan suspek kini direman sehingga 5 Julai untuk membantu siasatan dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana meragut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2016 @ 5:46 PM