Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menzahirkan rasa sedih dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi hari ini.

"Al-Fatihah buat dua wira negara yang terkorban dalam tragedi ini. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada," titah Seri Paduka Baginda menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam kejadian 2.45 pagi tadi, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 tahun dan suspek yang berusia 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan cedera.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi hantaran di laman Facebook rasmi mengesahkan dua anggota polis yang meninggal dunia dalam kejadian serangan itu ialah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said.

Allahyarham Ahmad Azza Fahmi dan Allahyarham Muhamad Syafiq merupakan anggota ronda cegah jenayah di balai polis tersebut dan baru sahaja berkhidmat dengan pasukan lebih kurang dua tahun, menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2024 @ 6:08 PM