ANGGOTA polis menunjukkan  motosikal digunakan suspek dan komputer tablet Samsung  yang dilarikan dari kediaman mangsa di Pemanis, Segamat. FOTO Ahmad Ismail
ANGGOTA polis menunjukkan motosikal digunakan suspek dan komputer tablet Samsung yang dilarikan dari kediaman mangsa di Pemanis, Segamat. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail

Segamat: Seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan polis bersama barangan curi ketika ditemui tertidur akibat keletihan selepas dipercayai melakukan dua pecah rumah di Felda Pemanis di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Superintendan Raub Selamat berkata, suspek ditahan ketika berbaring di sebelah motosikal Honda Wave dipercayai milik keluarga terdekatnya di tepi jalan Felda berkenaan kira-kira 5 pagi.

Katanya, suspek ditemui anggota polis bertugas di Pondok Polis di Pemanis di sini, ketika melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan terbabit.

“Suspek dilihat terbaring di atas tanah berhampiran motosikal dan anggota polis berkenaan mengejutkannya kerana menyangka lelaki itu pengsan atau mendapat serangan jantung.

“Suspek cuba melarikan diri sebaik terjaga apabila melihat anggota polis berpakaian seragam tercegat di hadapannya namun ditahan,” katanya di sini, semalam.

Katanya, perbuatan suspek itu menimbulkan syak dan soal siasat anggota polis terbabit membuatkan suspek mengaku keletihan selepas melakukan empat kes jenayah termasuk dua kes ragut beberapa jam sebelumnya di sekitar Kampung Tengah selain dua kes pecah kediaman penduduk beberapa hari sebelumnya di sekitar Pemanis.

Raub berkata, hasil pemeriksaan lanjut terhadap dompet milik suspek menemui MyKad dan beg tangan milik seorang wanita berusia 20-an yang diragut di sekitar Kampung Tengah beberapa jam sebelumnya.

“Mangsa anak seorang anggota polis lelaki berusia 50-an yang bertugas di sekitar Segamat.

“Suspek juga terbabit meragut seorang wanita berusia 50-an dan melarikan beg tangannya mengandungi sejumlah wang tunai beberapa jam sebelumnya di lokasi sama,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut terhadap suspek turut menemui sebuah komputer tablet berjenama Samsung dan sebuah telefon pintar Samsung di dalam bakul motosikal digunakan.

“Barangan itu dipercayai dilarikan dalam dua kejadian pecah rumah di sekitar Pemanis beberapa hari sebelumnya.

“Suspek dipercayai cuba mencari pelanggan dan melakukan penawaran harga di bawah pasaran semasa,” katanya.

Menurutnya, suspek warga tempatan tidak mempunyai pekerjaan tetap itu di tahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan dan Seksyen 457 kanun acara sama kerana pecah kediaman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 6:03 AM