Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Shah Alam: Sekumpulan lelaki dipercayai mat rempit menyamun dan membelasah lelaki dengan kayu dan batu dalam kejadian di tasik Seksyen 14, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi itu mangsa yang berseorangan melalui laluan pejalan di tasik itu dengan menunggang motosikal untuk pulang ke rumah.

Secara tiba-tiba sekumpulan mat rempit yang turut bersenjakan pisau itu menahan mangsa berusia 30-an.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, sejurus mangsa ditahan suspek dipercayai melebihi lima orang memukulnya menggunakan kayu dan batu sehingga tidak sedarkan diri.

Katanya, selepas mangsa pengsan suspek merampas barang peribadinya termasuk motosikal.

"Selain melarikan motosikal mangsa jenis Yamaha 125Z suspek turut merampas dompet mengandungi kad pengenalan, wang tunai RM150 serta telefon bimbit jenis Samsung Note 2.

"Mangsa cedera di kepala, muka dan tengkuk akibat hentakan benda tumpul," katanya.

Beliau berkata, mangsa tidak mengenali dan mengecam suspek kerana ketika kejadian mereka memakai topi keledar berpenutup penuh.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2015 @ 8:50 AM