AQASHA.
AQASHA.
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur : "Saya bukan penyokong Israel. Saya tidak pernah menggunakan atau menjadi perwakilan (jurucakap) kepada apa-apa produk israel, apatah lagi menyokong atau bersetuju dengan apa yang telah dilakukan oleh Israel," kata pelakon dan penyanyi, Aqasha berhubung pendiriannya membabitkan Gerakan Blockout 2024 yang hangat diperkatakan di media sosial ketika ini.

Menerusi perkongsian video di Instagram miliknya (IG), Aqasha atau nama sebenar, Firdee Akassya Rosli, 42, berkata, dia berasa terpanggil untuk membuat kenyataan itu untuk menyangkal segala fitnah dan komen kurang ajar di ruangan komen media sosialnya.

"Saya terima kata-kata itu (komen kurang ajar dan bodoh) tetapi tidak boleh diamkan kerana ia membabitkan imej dan saya perlu jelaskan pendirian saya di sini.

"Kenapa saya boleh keluar dengan 'posting' terdahulu? Saya terlihat satu 'posting' dari seorang artis dan pempengaruh bahawa kempen Blockout yang akan dijalankan mereka sudah susun dan kita boleh mengikuti artis ini dan kita kena 'block' artis yang disenaraikan dalam kempen berkenaan.

"Kalau mereka nak 'block' The Rock dan artis Hollywood yang memang sokong Israel tu lainlah ceritanya," katanya.

Dalam perkongsiannya lagi, kata pelakon filem Embun ini, dia berasa pelik dengan 'posting' artis dan pempengaruh terbabit (tidak mahu sebut nama) yang menyenaraikan artis tempatan dalam gerakan terbabit.

"Kita bercakap mengenai artis Melayu dan sesama islam di Malaysia. Di mana sifat toleransi kita sesama Islam? 

"Adakah itu didikan junjungan nabi kita untuk kita bawa dalam kehidupan?,"katanya.

Tambah Aqasha, orang kita di sini cuba membawa kebenaran tapi sayangnya dengan kata-kata yang kasar, keji dengan caci maki yang tidak melambangkan langsung akhlak dan adab yang ditinggalkan Rasulullah.

"Orang kita juga suka pertikai mengenai pengetahuan dan kefahaman agama anak seni terutama saya dalam masyarakat dan ia sesuatu yang tidak sihat.

"Mungkin mereka (anak seni) ada kesilapan mewakili produk zionis tapi itu perjalanan dia orang dan kita tak tahu pengakhiran dia orang kat mana nanti?

"Kita tak boleh mendahului kerja Tuhan. Saya mungkin bukan ustaz, ahki agama atau ulamak tapi saya ada pegangan dan tahu pendirian berhubung isu Palestin,"katanya.

Terdahulu, Aqasha tampil bersuara berhubung Gerakan Blockout 2024 yang menjadi perdebatan dalam kalangan warganet dan beberapa artis tempatan terbabit.

Dalam hantaran di IG Stories yang dimuat naik di platform X, Aqasha  berkata, orang ramai tidak mempunyai hak untuk mempersoal pertolongan yang dihulurkan oleh seseorang individu itu.

Katanya, orang ramai perlu menjaga adab dan perangai masing-masing dalam menghulurkan bantuan terutama kepada saudara seagama kita di Palestin.

Sementara itu, usaha Harian Metro untuk mendapatkan komen dan maklum balas dari Aqasha menerusi WhatsApp berhubung kenyataannya di IG  itu tidak dibalas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2024 @ 5:14 PM