GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


PENIAGA maut selepas motosikal ditungganginya dilanggar motosikal lain sebelum terjatuh di Kilometer 118 Jalan Kuantan-Johor Bahru, Rompin kira-kira 11 malam tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa yang juga Orang Asli Jo Ali, 30, meninggal dunia ketika dirawat di wad kecemasan Hospital Rompin, selepas parah di kepala.

Sementara dua beradik, Muhammad Ariff Shah Mohd Yusoff, 19, dan Muhammad Anaff, 17, yang menunggang motosikal lain cedera di beberapa anggota badannya.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd Noor, berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Modenas Kriss dilanggar motosikal Yamaha 135LC ditunggangi dua beradik berkenaan daripada belakang ketika mereka berada di laluan yang sama ke arah Kuantan.

“Akibat pelanggaran berkenaan kedua-dua motosikal berkenaan jatuh di tengah jalan dan mangsa dibawa ke Hospital Rompin oleh orang ramai sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata, siasatan di lokasi kemalangan mendapati keadaan jalan berturap, rata dan berkeadaan lurus.

Katanya, keterangan dua beradik berkenaan akan diambil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Azli berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian kemalangan itu boleh menghubungi bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin bagi membantu siasatan.\

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 11:04 AM