Mastini   memeriksa leher  Abu Zarin  sambil diperhatikan  ADUN Senaling, Datuk Ismail Lasim di Kampung Kuala Dioh.
Mastini memeriksa leher Abu Zarin sambil diperhatikan ADUN Senaling, Datuk Ismail Lasim di Kampung Kuala Dioh.
Amran Yahya

Kuala Pilah: Luluh hati seorang isteri apabila melihat suaminya yang dulu ceria, tiba-tiba terlantar selepas terjatuh ketika memasang bumbung rumah, pada 2 Oktober lalu.

Akibat kejadian itu, Mastini Mohd Alwi, 48, serta lima anaknya kini hilang tempat bergantung berikutan keadaan suaminya, Abu Zarin Samah, 57, yang terlantar sakit.

Mastini berkata, suaminya yang bekerja sebagai penoreh getah dan tukang rumah menjadi sumber pendapatan keluarga, kini tidak lagi mampu bekerja dan bergantung sepenuhnya kepada orang lain untuk menguruskan kehidupan harian.

“Suami terpaksa dijaga ibunya, Azizah Mahat, 75, kerana saya perlu bekerja sebagai pekerja pembersihan di Kolej Vokasional Juasseh (KVJ).

“Bukan tujuan untuk membebankan ibu mentua tetapi saya terpaksa untuk meneruskan kelangsungan hidup. Lagipun anak-anak masih kecil dan empat masih bersekolah.

“Saya memerlukan kira-kira RM800 sebulan untuk perbelanjaan suami termasuk membeli susu khas serta lampin pakai buang. Kos itu tidak termasuk perbelanjaan anak-anak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampong Kuala Dioh, kelmarin.

Menceritakan tragedi itu, Mastini berkata, Abu Zarin terjatuh ketika membaik pulih bumbung rumah ibunya di Kampung Kuala Dioh.

Katanya, kejadian berlaku jam 9.30 pagi ketika sedang mengganti bumbung baru, suami secara tiba-tiba tergelincir dari ketinggian kira-kira empat meter lalu terjatuh dalam ruang tamu rumah.

“Tubuhnya terhempas atas lantai menyebabkan tidak dapat bergerak. Selepas dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah, doktor mengesahkan terdapat pendarahan dalam kepala.

“Doktor terpaksa melakukan pembedahan dan memotong tempurung kepala sebelah kiri. Leher pula ditebuk untuk pernafasan dan menyedut kahak. Kini suami hilang upaya dan hanya terlantar,” katanya.

Mastini berkata, dia tidak pernah memohon bantuan daripada Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bekerja seorang diri demi menampung keperluan hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 8:02 AM