HASSANUDIN dan wakil Persatuan Rakan Budi Kedah, Rohayati Ayob (tiga dari kiri) menziarahi Wan Ahmad Nahar sambil diperhatikan Haslinda (kiri). FOTO Zuliaty Zulkiffli
HASSANUDIN dan wakil Persatuan Rakan Budi Kedah, Rohayati Ayob (tiga dari kiri) menziarahi Wan Ahmad Nahar sambil diperhatikan Haslinda (kiri). FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


SEORANG wanita diuji dua kali, pertama kehilangan suami akibat kemalangan jalan raya sembilan tahun lalu dan kini suami keduanya pula diserang angin ahmar akibat kesan strok haba, enam bulan lalu.

Suaminya, Wan Mohd Nahar Wan Ahmad, 45, hanya terlantar di katil di rumah mereka di Taman Tunku Maheran, Jitra dan memerlukan penjagaan sepenuhnya kerana dia tidak dapat bergerak.

Selain itu, Haslinda Ahmad, 39, juga orang kurang upaya (OKU) hilang upaya kekal apabila kaki kanannya sebelum ini patah akibat kemalangan bersama arwah suaminya, Mohd Reza Mohd Tarudin ketika menetap di Kuala Lumpur.

Akibat kejadian itu, Haslinda patah empat tulang pinggul dan mengambil masa yang lama untuk pulih.

Ketika kejadian itu, dua anaknya, Nurul Iman Shazwani Mohd Reza, 15, dan Amelia Umaira, 12, masih kecil.

“Sejak kejadian itu, saya tekad pulang ke sini dan bertemu jodoh dengan suami dan dikurniakan dua anak, Wan Muhammad Amirul Haiqal, 7, dan Wan Nur Qalesya Maisara, 11 bulan.

“Namun nasib malang yang menimpa suami berlaku ketika dia memandu lori kontena dari Bukit Kayu Hitam menuju ke Pulau Pinang dan ketika kejadian suaminya demam sebelum tiba-tiba rebah akibat cuaca panas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Katanya, sebaik tiba di lokasi di Pulau Pinang suaminya tiba-tiba terjatuh dalam lori kontena itu dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan.

“Bahagian kerongkong suami juga ditebuk untuk memudahkan pernafasannya dan menyebabkan dia tidak boleh bercakap selain makan serta minum melalui tiub,” katanya.

Haslinda berkata, dia pula tidak bekerja dan hanya menggunakan wang pencen ilat arwah suami untuk persekolahan anak selain wang Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) RM500 sebulan untuk membeli lampin pakai buang serta susu formula khas untuk suaminya.

Katanya, selain itu kakaknya, Hamidah Ahmad, 50, yang juga OKU sejak lahir turut menetap dengannya selepas kematian ibu kira-kira setahun lalu manakala bapa pula sudah lama meninggal dunia.

Sehubungan itu, mereka yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian di akaun Public Bank milik Haslinda 6-3355340-00 atau menghubunginya di talian 011-10902310.

Sementara itu, masalah yang menimpa Haslinda sekeluarga mendapati simpati dari Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menyampaikan sumbangan melalui Pegawai Khasnya, Hassanudin Samsudin dan wakil Persatuan Rakan Budi Kedah, Rohayati Ayob, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 10:26 AM