Muhammad  (kanan) dan  Dr Mohd Fadzilah  (kiri) pada sidang media Ikon MVM.
Muhammad (kanan) dan Dr Mohd Fadzilah (kiri) pada sidang media Ikon MVM.
HM Digital

Shah Alam: Bagi menjadi perangsang dan pencetus semangat, seramai lapan selebriti dan usahawan tempatan semalam dilantik menjadi ikon pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Muslim Volunteer Malaysia (MVM).

Selain pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, mereka terdiri daripada penyanyi iaitu Datin Alyah, Mila Jirin, Syamel AF, Lah Ahmad dan Azmi Saat serta pelakon, Diana Amir dan ahli perniagaan, Dila Mubarak.

Presiden MVM Muhammad Jantan berkata, pengaruh dan pengikut yang ramai menerusi media sosial oleh semua ikon itu diharap dapat membantu menyebarkan elemen positif dalam setiap aktiviti kebajikan anjuran pihaknya.

“Pemilihan ikon ini kali kedua dibuat menerusi jalinan kerjasama dengan selebriti terkenal tanah air. Tahun lalu, kita bekerjasama dengan Prof Datuk Dr Muhaya Mohamad, Datin Seri Nur Shahida, Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Datin Seri Umie Aida dan Amsyar Azman.

“Tahun ini, sebanyak 55 program yang sudah dan akan dilaksanakan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Kata beliau, pihaknya turut berharap kehadiran ikon baru itu dapat menyebarkan aktiviti MVM yang bukan hanya memberi fokus kepada bantuan di luar negara semata-mata sejak tiga tahun lalu.

“Sebanyak 51 daripadanya dianjurkan di Malaysia manakala empat lagi di luar negara atas dasar kemanusiaan,” katanya memaklumkan MVM kini mempunyai lebih 50,000 sukarelawan berusia 18 hingga 24 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 7:39 AM