Kaherah: Seorang wanita mati ditembak di tengah Kaherah semalam, kata sumber keselamatan Mesir, menjelang genap empat tahun kebangkitan rakyat menggulingkan diktator Hosni Mubarak.

Menurut sumber itu, mangsa terkena peluru penabur ketika dia berada di Dataran Tahrir yang menjadi ikon kepada perjuangan rakyat menyingkirkan Hosni selepas 30 tahun berkuasa.

Gambar dari Twitter menunjukkan beberapa anggota keselamatan bertopeng hitam berdiri berhampiran kawasan itu ketika aktivis Shaimaa Sabbagh ditembak.

Pakatan Popular Sosialis berkata, ada saksi mendakwa Shaimaa ditembak pasukan keselamatan Mesir sendiri.

“Beliau sedang membawa jambangan bunga ke Dataran Tahrir ketika kejadian berlaku,” kata pertubuhan itu di akaun Facebook mereka semalam.

Walaupun bantahan jalanan dapat dipatahkan selepas tentera menyingkirkan Presiden Mohamed Mursi Isa al-Ayyat pada 2013, beberapa protes lebih kecil diadakan di beberapa bandar Kaherah dan Iskandariah.

Perdana Menteri Mesir, Ibrahim Mehleb dalam kenyataanya semalam berjanji menyiasat insiden itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 5:06 AM