NANA Mahazan pada majlis pelancaran Muslim Volunteer Malaysia (MVM) misi bantuan musim sejuk untuk pelarian Syria di Jordan. FOTO Rohanis Shukri
NANA Mahazan pada majlis pelancaran Muslim Volunteer Malaysia (MVM) misi bantuan musim sejuk untuk pelarian Syria di Jordan. FOTO Rohanis Shukri
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Pengacara Nana Mahazan, 39, tidak pernah terlintas menyertai dan jauh sekali dapat peluang dilantik ikon misi bantuan kemanusiaan kerana merasa dirinya terlalu kerdil untuk misi sebegitu.

Nana atau nama sebenarnya Nurul Hana Che Mahazan berkata, baik sebelum dan sesudah berhijab pun, dia masih merasa dirinya tidak layak memegang tanggungjawab itu. 

"Saya selalu fikir saya ini hanya insan kerdil dan bukan siapa-siapa. Saya pernah buat misi kumpul sumbangan, banjir, lawat rumah orang tua, tapi bukan misi besar kemanusiaan di luar negara.

"Saya terfikir, layakkah saya? Saya kagum dengan rakan-rakan artis lain yang pernah pergi. Tapi tak pernah terfikir bahawa saya pun perlu pergi juga sebab nak ikut-ikut mereka. 

"Apabila tengok macam Mizz Nina dan Heliza Helmi pergi misi sebegitu, saya rasa mereka sangat hebat manakala saya tak mungkin dapat jadi seperti mereka," katanya pada majlis minum petang misi Syria Kami Datang 7.0 anjuran Sukarelawan Muslim Malaysia (MVM), semalam.

Menurut Nana, disebabkan itulah dia sangat sebak apabila dipilih MVM sebagai ikon untuk misi bantuan musim sejuk pelarian Syria di Jordan pada Januari nanti.

"Saya paling tersentuh apabila dapat sendiri menjadi sebahagian daripada misi ini. Saya sangat sebak kerana bukan sesiapa dapat pergi dan diberi kesempatan terbabit misi yang sangat penting serta besar.

"Insyallah untuk tujuan kebaikan dan impak sangat besar. Sampaikan sewaktu diberitahu terpilih, saya tertanya juga apa yang melayakkan saya terima kebaikan serta rahmat Allah ini?," katanya.

Nana bakal ke Syria pada 12 Januari nanti dan berada selama seminggu di sana. Dia juga kini membuat persiapan mental dan fizikal termasuk pengurusan trauma sebelum menjalani misi sebenar itu.

Misi antarabangsa kelolaan Jabatan Program & Hal Ehwal Kemanusiaan MVM berkenaan dalam rangka mengutip sumbangan sebanyak RM500,000. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 11:56 AM