DR Ahmad Zahid menerima cendera hati daripada Pengerusi Sidang Kemuncak Ekonomi China Dunia, Tan Sri Dr Michael Yeoh.
DR Ahmad Zahid menerima cendera hati daripada Pengerusi Sidang Kemuncak Ekonomi China Dunia, Tan Sri Dr Michael Yeoh.
Daripada Nurul Hazren Masitom


Hong Kong: Tourism Malaysia akan memberi tumpuan mempromosi bandar kecil di negara ini sebagai tarikan baru untuk pelancong dari China.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun bandar itu biasanya kekurangan kemudahan perhubungan namun jika berpotensi menarik pelancong, kerajaan akan memberi bantuan sewajarnya.

Beliau berkata, tumpuan menarik pelancong China bukan hanya ke bandar utama di Malaysia saja, tetapi bandar di tahap kedua yang kurang perhubungan.

“Saya berbincang dengan beberapa LCC (syarikat penerbangan tambang murah) untuk kita mengeksploitasi destinasi mengikut jumlah pelancong yang berpotensi datang ke Malaysia.

“CNTA (Pentadbiran Pelancongan Kebangsaan China) biasanya memberi peluang kepada pelancong China ke destinasi yang dicadangkan mereka. Dalam perkara ini CNTA boleh bantu Malaysia untuk mencadangkan destinasi itu.

“Saya melihat beberapa destinasi baru mengikut minat pelancong Chinadan mereka suka hutan hujan serta pantai,” katanya pada sidang media dengan media Malaysia di sini, semalam.

Turut hadir Konsul Jeneral Malaysia di Hong Kong dan Macau, Datuk Tengku Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin dan Konsul Malaysia di wilayah berkenaan, Grace Rebekah Teh.

Ahmad Zahid mengulas jangkaan Malaysia terhadap kedatangan pelancong China dari Wilayah Pentadbiran Khas susulan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN Hong Kong yang ditandatangani Ahad lalu di Manila, Filipina.

Terdahulu, beliau berkata, walaupun Malaysia menyasarkan tiga juta pelancong dari China tidak termasuk Hong Kong dan Taiwan, ia gagal dicapai kerana hanya 1.8 juta pelawat tiba setakat 31 Oktober lalu.

Katanya, mustahil memperoleh baki 1.2 juta pelancong dalam dua bulan ini.

Namun, katanya, angka itu diharap bertambah dua tahun lagi terutama pelancong mewah sejajar promosi Tahun Melawat Malaysia 2020, bermula tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 5:21 AM