Dr Mohamed Zakaria Hussin.
Dr Mohamed Zakaria Hussin.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Institut Rimbawan Malaysia (IRIM), badan bebas bukan kerajaan yang diwakili barisan pakar dalam bidang perhutanan terpanggil menjelaskan isu pembalakan di Malaysia yang sedang hangat diperkatakan.

Presiden IRIM Prof Dr Mohamed Zakaria Hussin berkata, persepsi netizen mengatakan pembalakan punca kepada isu alam sekitar terutamanya yang berlaku di Selangor, Kelantan dan Pahang hendaklah diubah.

Katanya, penelitian terhadap fakta fizikal dan ilmiah perlu dilakukan sebelum membuat kesimpulan menunding jari ke arah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Negeri (JPN).

"Seperti sedia maklum, hal yang berkait dengan pengurusan hutan adalah tanggungjawab JPSM dan JPN.

"Semua aktiviti atau operasi pembalakan adalah dengan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 74(2) Perlembagaan Malaysia, dan urus tadbir pelesenan di kawasan Hutan Simpanan Kekal dikelolakan oleh JPN di bawah peruntukan Akta Perhutanan Negara 1984 atau undang-undang di peringkat negeri," katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, akhir-akhir ini sering didengari orang ramai menyebut perkataan pembalakan terutama di media massa.

"Antaranya pembalakan dikaitkan dengan bencana jerebu, kemarau, banjir dan yang sedang hangat diperkatakan sekarang adalah kepupusan harimau. Bagi kebanyakan netizen, pembalakan adalah seperti satu aktiviti yang dipandang tidak bagus dan hanya memusnahkan khazanah alam semula jadi.

"Melihat kepada kes banjir lumpur dan banjir puing yang berlaku di Bentong dan Karak, Pahang, isu ini tidak ada kaitan dengan aktiviti pembalakan kerana tidak ada lesen pembalakan yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri Pahang di kawasan berkenaan," katanya.

Menurutnya, kawasan berhutan di Malaysia secara amnya boleh dibahagi kepada beberapa jenis antaranya Hutan Simpanan Kekal, Hutan Tanah Kerajaan, Rezab Hidupan Liar, Taman Negara, Taman Negeri, Tanah Milik dan kawasan rezab berhutan lain.

Katanya, pembalakan kebiasaannya membabitkan Hutan Simpanan Kekal, Hutan Tanah Kerajaan dan Hutan Beri Milik.

"Manakala bagi kawasan Rezab Hidupan Liar, Rezab Semula jadi, Taman Negara dan Taman Negeri adalah dilindungi sepenuhnya dan tiada peruntukan untuk sebarang kelulusan atau menjalankan aktiviti pembalakan. Kawasan hutan yang dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada JPSM dan JPN ialah kawasan Hutan Simpanan Kekal.

"Hutan Simpanan Kekal ini pula dibahagikan kepada dua iaitu Hutan Pengeluaran dan Hutan Perlindungan," katanya.

Mohamed Zakaria berkata Hutan Perlindungan tidak akan dibalak dan dipelihara supaya tidak diganggu disebabkan wujudnya sumber atau faktor yang mempunyai kepentingan kepada masyarakat sebagai kawasan perlindungan tanah, kawalan banjir, tadahan air, rekreasi, pelajaran dan penyelidikan selain mempunyai nilai konservasi yang tinggi termasuk untuk tujuan konservasi flora dan fauna.

Ini bermakna, katanya, aktiviti pembalakan secara mampan hanya boleh dijalankan di kawasan Hutan Pengeluaran.

"Pembalakan di kawasan Hutan Pengeluaran hanya dilakukan melalui kaedah Penebangan Terpilih (Selective Logging).

"Ini bermaksud hanya beberapa batang pokok matang yang terpilih dan memenuhi kriteria di bawah Pengurusan Hutan Secara Mampan akan ditanda dan ditebang.

"Pokok-pokok lain yang mempunyai kepentingan seperti pokok ibu, pokok terancam dan pokok nadir yang menjadi sumber makanan kepada hidupan liar akan dilindungi," katanya. Ini bermakna, katanya, walaupun kawasan yang berkenaan sudah dibalak, ia masih kawasan berhutan dan dijangka akan kembali terpulih dalam tempoh 30 tahun sebelum mencapai giliran tebangan selanjutnya.

Menurutnya, status hutan yang sudah dibalak itu akan kekal sebagai Hutan Simpanan Kekal.

"Isu yang dibangkitkan Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan mengenai kawasan hutan yang sudah dibalak boleh menjadi habitat harimau mungkin ada kebenarannya.

"Kajian juga menunjukkan bahawa kawasan hutan yang sudah dibalak melalui kaedah Penebangan Terpilih mempunyai saiz populasi harimau yang agak tinggi walaupun tidak setinggi jika dibandingkan dengan kawasan Hutan Perlindungan atau Taman Negara.

"Cuma persepsi netizen apabila mendengar kawasan tertentu dibalak, kebiasaannya digambarkan secara tebangan habis seperti padang jarak padang tekukur tanpa sebatang pokok yang tinggal. Manakan mungkin kawasan lapang sebegini boleh menjadi habitat harimau. Inilah isu yang dimainkan oleh netizen tanpa dapat penjelasan yang tepat," katanya.

Bagaimanapun, katanya, perlulah berhati-hati dengan kenyataan 'pembalakan bagus untuk harimau'.

Kenyataan sebegitu, katanya, seperti menggambarkan harus mempergiatkan lagi aktiviti pembalakan sekiranya ingin pertingkatkan populasi harimau.

"Keputusan kajian yang diperolehi dan dirujuk dalam mengeluarkan kenyataan tersebut juga masih agak cetek dan tidak banyak data yang boleh digunakan untuk perbandingan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 11:37 PM