DR Janathan  (tengah) menunjukkan sisik tenggiling yang dirampas.
DR Janathan (tengah) menunjukkan sisik tenggiling yang dirampas.
Amniera Naziera Amran


Kota Kinabalu: Harganya boleh mencecah sehingga RM12,800 sekilogram di pasaran gelap.

Faktor itu menyebabkan sisik tenggiling mendapat permintaan tinggi di negara jiran.

Sisik tenggiling digunakan untuk tujuan perubatan tradisional seperti menyembuhkan demam, malaria dan menambah tenaga walaupun tiada bukti secara saintifik bagi menyokong dakwaan itu.

Terbaru, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah mematahkan cubaan menyeludup keluar lapan tan sisik tenggiling bernilai lebih RM100 juta melalui Pelabuhan Sepanggar pada 29 Julai lalu.

Pengarah JKDM Sabah Datuk Dr Janathan Kandok berkata, pada kejadian jam 9.20 pagi pihaknya yang melakukan pemeriksaan menemui dua kontena berisi 226 guni mengandungi sisik tenggiling.

“Ia dipercayai cuba diseludup ke China menerusi pelabuhan berkenaaan. Taktik sindiket ialah dengan membuat ikrar palsu di mana mereka mengikrarkannya sebagai cengkerang.

“Setiap guni berisi 30 kilogram (kg) hingga 50kg sisik tenggiling. Berdasarkan jumlah itu, kami percaya 16,000 tenggiling dikorbankan untuk mendapatkan sisiknya,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, import sisik tenggiling dilarang mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 Butiran 1, Jadual Ketiga Bahagian III kecuali dengan permit import dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Susulan rampasan itu, Dr Janathan berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun semalam, bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 6:33 AM