KEKADAAN jalan di Kampung Tepi Sungai, Permaipura, Bedong yang dinaiki air akibat hujan lebat. FOTO Omar Osman
KEKADAAN jalan di Kampung Tepi Sungai, Permaipura, Bedong yang dinaiki air akibat hujan lebat. FOTO Omar Osman
Omar Osman


LEBIH 100 penduduk Kampung Tepi Sungai, Permaipura, Bedong, Sungai Petani kesal kerana tiada agensi berkaitan tampil melihat keadaan kawasan kampung yang dilanda banjir teruk sejak malam tadi.

Lebih memeritkan 35 rumah di kampung terbabit ditenggelami air hingga paras pinggang, malah jalan masuk ke kampung itu turut terputus kerana air naik lebih dua meter.

M. Chandra, 40, berkata, air banjir mula naik kira-kira 12 tengah malam akibat hujan lebat sejak petang dan melimpah ke dalam rumah pada 2 pagi dan sejam kemudian semua rumah di kampung itu digenangi air dan penduduk gagal menyelamat barangan.

"Air naik dengan cepat, dalam beberapa minit seluruh kampung ini sudah digenangi air yang masuk ke dalam rumah.

"Kami semua di sini tidak boleh keluar kerana jalan masuk kampung juga tenggelam dan air separas dada .

"Saya ada hubungi pihak yang berkenaan dan beritahu keadaan kami di sini, tetapi sehingga pagi ini tiada sesiapa pun yang datang menjenguk.

"Mujur pagi ini air agak surut dan saya bersama rakan keluar membeli makanan untuk diberi kepada penduduk yang terjejas kerana sejak malam tadi kami tidak dapat makan, " katanya ketika ditemui.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro 8 pagi tadi mendapati laluan masuk ke kampung itu tenggelam dan tidak boleh dilalui kenderaan selain beberapa kampung sekitar Bedong terjejas teruk, malah sebahagian jalan berhampiran Semeling terhakis teruk dan runtuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2017 @ 4:40 PM