Omar Ahmad & Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Hampir 90 peratus rumah penduduk di Kampung Sepakat Baru, Skudai di sini ditenggelami banjir sejak semalam.

Tinjauan ke lokasi mendapati hampir kesemua rumah ditenggelami air sehingga paras bumbung, manakala jalan masuk ke kampung hanya boleh dilalui menggunakan bot.

Lebih 500 penduduk membabitkan 200 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 10 Skudai, sejak semalam.

Ketua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Sepakat Baru, Batu 11 1/2, Skudai, Azmi Basiran berkata banjir kali ini lebih teruk selepas 15 tahun.

Katanya, kali terakhir banjir besar melanda kampung itu adalah pada 2006.

KEADAAN banjir di Kampung Sepakat Baru yang menenggelamkan hampir 90 peratus rumah penduduk. FOTO Omar Ahmad
KEADAAN banjir di Kampung Sepakat Baru yang menenggelamkan hampir 90 peratus rumah penduduk. FOTO Omar Ahmad

"Air pasang besar dan hujan lebat menjadi punca banjir berlaku. Rumah saya juga ditenggelami air kira-kira 1.5 meter.

"Ada juga rumah penduduk yang tenggelam paras bumbung. Kedudukan kampung ini tidak rata, jadi kalau rumah yang kawasan rendah memang tenggelam," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Sarip Darsan, 82, yang menetap lebih 30 tahun di kampung itu bersyukur apabila dia dan isterinya, Sainah Selamat, 82, diselamatkan sebelum dipindahkan ke PPS.

Katanya, dia menyedari air deras dari belakang rumah kira-kira jam 9 pagi dan membuat persiapan kerana air naik dengan cepat.

"Mujur kebetulan ada anak lelaki saya berusia 36 tahun yang membantu menguruskan kami sebelum dibawa ke PPS," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 4:12 PM