Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Terengganu kembali dilanda banjir apabila kediaman penduduk di tiga daerah iaitu Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Dungun mula dinaiki air.

Sehingga 8 pagi ini, seramai 192 mangsa daripada 57 keluarga yang terjejas ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS).

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, daerah Kuala Nerus merekodkan jumlah mangsa tertinggi apabila seramai 155 mangsa daripada 46 keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal dan Balai Raya Alor Damat.

Beliau berkata, sebanyak 45 keluarga membabitkan 151 mangsa ditempatkan di SK Tok Jembal manakala empat mangsa daripada satu keluarga kini berada di Balai Raya Alor Damat.

"Di Kuala Terengganu, seramai 15 mangsa daripada lima keluarga dipindahkan ke SK Chendering.

"Kita turut membuka PPS di Dewan Sivik Seberang Pintasan, Dungun bagi menempatkan 22 mangsa daripada enam keluarga yang terjejas.

"Kesemua kesemua mangsa mula dipindahkan secara berperingkat sejak malam tadi selepas rumah mereka mula dinaiki air susulan hujan berterusan sejak petang semalam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 10:27 AM