Syah Rul Aswari Abdullah


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, menahan Setiausaha Parti Warisan Sabah (WARISAN) Bahagian Putatan bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana RM1.5 bilion yang disalurkan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah(KKLW).

Sumber yang rapat dengan SPRM berkata, lelaki terbabit, jurutera berusia 47 tahun ditahan ketika memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah, pada jam 2.45 petang hari ini.

Difahamkan, SPRM akan memohon perintah reman terhadap lelaki itu di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, esok.

Setakat ini, pihak berkuasa rasuah itu sudah menahan reman sembilan individu di Sabah dan Putrajaya termasuk lima ahli politik, tiga ahli perniagaan serta seorang penjawat awam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Di Sabah, individu yang ditahan reman adalah Naib Presiden WARISAN Datuk Peter Anthony, 46; Ketua Wira parti itu Datuk Mohd Azis Jamman, 43, Ketua Penerangan Pemuda UMNO merangkap Ketua Pemuda UMNO Tenom Jamawi Jaafar, 43, Ketua Pemuda UMNO Tawau Ariffin Kassim, 44, serta seorang ahli perniagaan Yu Sin Kong, 52.

Dua adik Mohd Shafie, Mohd Yusof, 57, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu dan Hamid, 52, yang juga ahli perniagaan serta menantu Hamid, Manzur Hussein Awal Khan, 33, turut ditahan reman.

Di Putrajaya, seorang wanita berusia 40 tahun yang juga bekas Timbalan Setiausaha di sebuah kementerian Persekutuan turut ditahan reman bagi membantu kes sama.

Bagaimanapun, hanya Mohd Yusof masih ditahan reman, manakala lapan individu lain sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

SPRM sebelum ini mendedahkan siasatan kes penyelewengan dana sebuah kementerian Persekutuan di Sabah membabitkan nilai RM1.5 bilion.

Ia sebahagian daripada peruntukan RM7.5 bilion untuk pelbagai projek pembinaan infrastruktur di negeri itu antara 2009 hingga 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 8:17 PM