Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


SYARIKAT Air Negeri Sembilan (SAINS) didenda RM220,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban, di sini, hari ini berikutan tidak mematuhi syarat 'standard' dan syarat khas ditetapkan dalam pemberian lesen individu, dua tahun lalu.

Hakim Ahmad Fairuz Mohd Puzi menjatuhkan hukuman sebaik Pengurus Bahagian Undang-Undang SAINS, Zainal Abidin Mohd Khamis yang mewakili syarikat membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, syarikat itu didakwa tidak mematuhi syarat standard ditetapkan bagi lesen individu dengan 'mensubkontrakkan' sebahagian aktiviti kepada Hatimuda Sdn Bhd untuk pengurusan, operasi dan penyelenggaraan Loji Rawatan Air Sungai Terip, tanpa memberi notis bertulis kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) 60 hari sebelumnya.

Kesalahan itu dilakukan di Loji Rawatan Air Sungai Terip, Kilometer 10, Jalan Jelebu, dekat sini, pada 27 Oktober 2015.

Bagi pertuduhan kedua, SAINS didakwa melakukan kesalahan sama pada tarikh sama di Loji Rawatan Air Ngoi-Ngoi, Kilometer 17 di Jalan Jelebu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 10 (1) (a) dan Seksyen 10 (1) (b) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPAN, Azjamaatuliza Farah Ain Jamludin dan Mohd Helmy Razelan manakala Zainal Abidin diwakili peguam, Hasbullah Mohammad.

Dalam pada itu Azjamaatuliza Farah Ain memohon hukuman yang setimpal berikutan ia kesalahan kedua dan kali pertama adalah tahun lalu.

Hasbullah merayu hukuman dikurangkan kerana syarikat tidak pernah memberikan masalah membekalkan air bersih kepada penduduk di negeri ini.

Mendengar rayuan dan permohonan kedua pihak, Ahmad Fairuz mengarahkan SAINS didenda RM110,000 bagi setiap pertuduhan.

Mengikut fakta kes, SPAN menerima aduan pada 13 Oktober 2015 mengenai kesalahan melanggar syarat lesen individu yang dilakukan oleh SAINS.

Pada 27 Oktober 2015, dua pasukan serbuan SPAN mengadakan pemeriksaan di dua lokasi itu dan mendapati dua loji itu diuruskan Syarikat Hatimuda Sdn Bhd. Kertas siasatan dibuka untuk siasatan lebih lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 4:23 PM