SITI menjawab soalan daripada wartawan yang hadir.
SITI menjawab soalan daripada wartawan yang hadir.
SITI menjemput pelajar tahfiz dalam meraikan majlis kesyukuran.
SITI menjemput pelajar tahfiz dalam meraikan majlis kesyukuran.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza yang kini hamil empat bulan tidak malu berkongsi dia menjalani rawatan kesuburan In Vitro Fertilization (IVF) dalam usaha mendapatkan cahaya mata.

Siti, 38, berkata, itu adalah percubaan ketiga dilakukannya sepanjang tempoh 11 tahun berkahwin dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, 58.

“Saya okay untuk berkongsi. Kenapa perlu ada rasa malu? Ini kerana ramai lagi yang senasib dengan saya, malah ada yang lebih lama. Saya ingin berkongsi dengan wanita lain.

“Namun, dua tahun lalu saya hamil secara normal tetapi mengalami keguguran ketika kandungan berusia dua bulan.

“Memikirkan usia yang kian meningkat, saya perlu kejar masa. Jadi, saya mengambil keputusan untuk menjalani rawatan IVF buat kali ketiga.

“Alhamdulillah, Allah berikan rezeki ini,” katanya.

Siti berkata, sepanjang menjalani rawatan itu dia terpaksa duduk dalam bilik selama tiga bulan dan dinasihatkan supaya tidak banyak berjalan.

“Saya disahkan hamil selepas sambutan Aidilfitri lalu. Disebabkan itu saya perlu fokus dan perlu banyak berehat.

“Pada masa sama, proses rawatan ini ada banyak peringkat. Sepanjang tiga bulan saya hanya duduk di dalam bilik. Sehinggakan kalau nak turun naik tangga, suami dukung atau angkat menggunakan kerusi roda. Saya dinasihatkan supaya tidak terlalu banyak bergerak.

“Alhamdulillah, sekarang saya memasuki peringkat kedua kehamilan. Saya bersyukur segalanya dipermudahkan dan berdoa semoga semuanya berjalan lancar,” katanya.

Siti juga berkongsi dia dalam proses membuka pusat rawatan kesuburan IVF bawah Yayasan Nur Jiwa.

Pusat rawatan itu dengan kerjasama Doktor Collin iaitu doktor yang membantunya menjalani proses IVF.

“Pusat rawatan ini memberi peluang kepada wanita yang mengalami nasib macam saya mencuba rawatan ini pada kadar termampu.

“Insya-Allah, kami masih dalam proses pelaksanaan dan dijangka dibuka pada awal tahun depan,” katanya.

Terdahulu, Siti berkongsi khabar gembira mengenai kehamilannya dalam satu majlis khas yang diadakan di rumahnya di Bukit Antarabangsa, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 7:19 AM