Nor ‘Asyikin Mat Hayin

"Tanpa berfikir panjang, saya bersetuju untuk menjalani rawatan penggunaan tiub vagina InvoCell walaupun baru pertama kali mendengar teknologi ini.

"Niat saya adalah untuk berikhtiar hamil setelah lapan tahun mendirikan rumah tangga. Dalam tempoh itu, saya pernah melakukan dua rawatan kesuburan Intrauterine Insemination (IUI), tetapi tidak berjaya,"kata Shuhada Abdul Karim.

Shuhada ialah pesakit rawatan kesuburan penggunaan tiub vagina InvoCell di Pusat Reproduktif Termaju (ARC), Hospital Tuanku Canselor Muhriz (HCTM)-Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ketika ditemui pada 18 Ogos lalu, Shuhada sedang hamil 24 minggu.

Katanya, dia menjalani rawatan kali pertama pada 15 Februari lalu dan tidak menyangka disahkan hamil selepas sebulan menjalani rawatan berkenaan.

"Sudah tentunya saya dan suami Mohd Niazmin Omar Ali, berusia 35 tahun, gembira kerana sudah menantikan detik ini sekian lama.

"Tambahan pula, saya pernah melalui episod sedih iaitu hamil luar rahim pada tahun pertama perkahwinan menyebabkan bahagian kanan saluran fallopian terpaksa dibuang.

"Selepas itu, saya sukar hamil walaupun sudah melakukan rawatan IUI," katanya.

SHUHADA dan dan Mohd Niazmin sudah lapan tahun mendirikan rumah tangga.
SHUHADA dan dan Mohd Niazmin sudah lapan tahun mendirikan rumah tangga.

ARC, HCTM-UKM melakar sejarah apabila menjadi pusat kesuburan pertama di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan terkini dalam perawatan bayi tabung uji iaitu penggunaan tiub vagina InvoCell.

Selain itu, ARC turut mendapat pengiktirafan 'Malaysia Books of Record' di atas kejayaan kehamilan pertama pesakit yang menguna pakai kaedah ini, yang sudah hamil lebih 24 minggu pada 18 Ogos lalu.

Rawatan tiub vagina InvoCell adalah alternatif kepada rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) sedia ada di Malaysia.

Ketua ARC HCTM Prof Madya Dr Abdul Kadir Abdul Rahim berkata, rawatan ini diperkenalkan untuk mengurangkan kos kepada pesakit kesuburan yang menjalani rawatan bayi tabung uji.

Menurutnya, ketika ini, proses pembentukan embrio bagi rawatan IVF dilakukan dalam makmal menggunakan mesin inkubator yang canggih dan mahal.

"Melalui kaedah InvoCell, penggunaan inkubator dapat dikurangkan kerana tiub vagina invoCell yang terdiri daripada tiga bahagian iaitu topi silikon lembut (soft silicone cap), peranti kultur (culture device) dan silinder dalam (inner cylinder) yang mengandungi oosit serta sperma dimasukkan ke dalam vagina pesakit.

"Ia berfungsi sebagai inkubator semula jadi yang akan membantu pembentukan embrio secara semula jadi," katanya.

Beliau berkata, selepas lima hari, tiub ini akan dikeluarkan daripada vagina. Embrio akan disaring untuk dimasukkan semula ke dalam rahim. Selebihnya (embrio) akan disimpan secara sejuk beku.

"Seramai 10 pesakit menguna pakai kaedah InvoCell, empat daripada mereka berjaya hamil.

"Salah seorang pesakit dengan usia kandungan lebih 24 minggu dan kandungan tiga yang lain berada pada peringkat awal kehamilan iaitu berusia lapan hingga 10 minggu," katanya.

Dr Abdul Kadir berkata, teknologi ini sudah lama diperkenalkan iaitu kira-kira 20 tahun lalu, tetapi hanya dikomersialkan di Amerika Syarikat pada 2015.

"Teknologi ini diperkenalkan sebagai pilihan rawatan kesuburan yang mampu dimiliki di Amerika Syarikat dan Malaysia.

"Kos rawatan tiub vagina InvoCell ini dianggarkan 30 peratus lebih rendah berbanding rawatan IVF.

"Di ARC, HCTM, kita cuba menetapkan pakej kos rawatan keseluruhan tiub vagina InvoCell iaitu kira-kira RM7,000 hingga RM8,500 berbanding kos IVF iaitu RM12,000 hingga RM13,000," katanya.

WANITA memiliki bilangan telur banyak, peluang hamil tinggi dan sebaliknya.
WANITA memiliki bilangan telur banyak, peluang hamil tinggi dan sebaliknya.

Kata Dr Abdul Kadir, proses rawatan yang 'rumit' dan keperluan peralatan khusus (inkubator canggih dan mahal) untuk proses pembentukan embrio, menyebabkan kos rawatan IVF menjadi tinggi.

"Tentunya kos yang tinggi ini menghalang mereka mempunyai masalah kewangan untuk menjalani rawatan kesuburan IVF.

"Secara amnya, semua wanita (tanpa had umur) sesuai menjalani rawatan ini. Bagaimanapun, perlu memastikan suaminya tidak mempunyai masalah sperma yang boleh mengganggu kesuburan (suami).

"Ini kerana kaedah InvoCell memerlukan proses persenyawaan secara semula jadi dalam tiub vagina InvoCell," katanya.

"Memandangkan rawatan penggunaan tiub vagina InvoCell ini lebih kepada kaedah persenyawaan semula jadi, maka adalah lebih baik sekiranya bilangan telur dimiliki wanita itu banyak kerana memberikan peluang kejayaan hamil yang lebih tinggi.

"UKM mula menggunakan teknologi ini (penggunaan tiub vagina InvoCell) sebagai penyelidikan pada Julai 2021," katanya.

Dr Abdul Kadir berkata, diharapkan penggunaan teknologi ini dapat diperluaskan di Malaysia sebagaimana di Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 6:01 AM