ELIZAD kut saranan doktor dalam usaha dapatkan zuriat.
ELIZAD kut saranan doktor dalam usaha dapatkan zuriat.
Ardini Sophia Sina


SETIAP pasangan yang sudah berkahwin pasti mengimpikan kehadiran cahaya mata sebagai penambah seri mahligai dibina. Begitu juga harapan pelakon Siti Elizad yang melakukan pelbagai usaha untuk hamil.

Elizad berkata, sudah setahun dia menghentikan rawatan kecantikan atas saranan doktor. Malah, dia juga mengambil pil kesuburan sebagai usaha mendapatkan zuriat.

“Apa saja rawatan kecantikan termasuk makanan tambahan saya hentikan buat sementara waktu kerana bimbang menyebabkan ‘cyst’. Saya pula ada ‘cyst’ yang aktif dan pernah dua kali menjalani pembedahan membuang ketumbuhan itu. Oleh itu, doktor sarankan saya untuk berhenti buat sementara waktu.

“Saya memang rancang menjalani persenyawaan in vitro (IVF) tetapi kami mula dari bawah. Doktor beri saya pil kesuburan dulu, kemudian inseminasi intrauterin (IUI) dan barulah IVF. Ramai yang tanya bila nak ada anak, tetapi takkan saya mahu cerita dari A sampai Z.

“Memang setiap tahun saya cuba, bukan tak cuba langsung. Bagaimanapun, saya terbuka untuk berkongsi cerita mengenai usaha mendapatkan anak,” katanya.

Tidak hanya rawatan moden, Elizad turut menggunakan kaedah tradisional iaitu berurut.

Katanya, dia tidak kisah mencuba apa saja saranan daripada peminat kerana memasang niat untuk hamil tahun ini.

“Saya terbuka bercerita mengenai usaha untuk hamil kerana ingin tunjukkan kepada wanita yang mempunyai masalah seperti saya supaya terus berusaha dan sentiasa positif.

“Sekarang ini pun, saya tawakal dengan segala proses dan usaha untuk hamil. Memang tahun ini saya teringin sangat untuk hamil apatah lagi melihat ramai rakan yang sudah menimang cahaya mata,” katanya.

Bercerita mengenai kerjayanya, lakonan Elizad menerusi drama Aku Yang Kau Tinggalkan yang ditayangkan Ramadan lalu antara drama rantaian sohor kini (trending) dan mendapat tontonan tinggi jika dibandingkan siri lain yang ditayangkan pada waktu sama.

Kata Elizad, dia bersyukur kerana wataknya sebagai Nia Atirah diterima ramai yang berjaya meruntun hati penonton. Malahan, keserasian antara Elizad dan Ungku Ismail turut mendapat pujian.

Namun, mereka yang pernah digandingkan menerusi Teman Lelaki Upahan sepakat untuk tidak terlalu kerap digandingkan bersama. Mereka ingin membiarkan penonton ‘hook’ dengan watak itu terlebih dahulu.

“Saya tidak sangka drama itu trending kerana ketika Ramadan penonton akan memilih untuk menikmati cerita daripada slot yang mendapat jumlah tontonan tinggi. Mungkin kelebihan saya kerana digandingkan dengan Ungku.

“Kami pernah berlakon bersama, jadi tidak ada rasa malu dan kekok. Kami seperti bermain pingpong. Apabila saya lontarkan bola, dia akan sambut dan pulangkan balik kepada saya,” katanya.

Selepas Teman Lelaki Upahan, mereka banyak menerima drama namun jadual tidak mengizinkan ada juga yang terpaksa ditolak kerana skrip kurang memuaskan hati mereka.

“Tidaklah mahu terlalu kerap muncul bersama di kaca televisyen. Nanti penonton bosan. Selepas Teman Lelaki Upahan, mereka panggil saya Kyra Lydia selepas empat tahun barulah ada yang menyapa saya sebagai Nia Atira,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 5:30 AM