GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Syazwana Mansor


WARGA emas berusia 79 tahun maut dilanggar motosikal ketika melintas di jalan Alor Setar-Yan-Bedong, berdekatan Kampung Sungai Lintang, Yan, hari ini.

Dalam kejadian 9 pagi itu, Othman Hassan yang tinggal di Kampung Sungai Lintang, Sungai Limau Dalam, disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Hospital Yan (HY) akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Muhamad Halim Yatim berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 9.15 pagi dan seorang pegawai bersama anggota, bergegas ke lokasi.

Halim berkata, siasatan awal mendapati sebuah motosikal ditunggang lelaki berusia 36 tahun dari arah Alor Setar menghala ke Yan, tidak sempat membrek motosikalnya apabila tiba di tempat kejadian, lalu terlanggar mangsa yang tiba-tiba melintas jalan.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penunggang motosikal yang juga buruh binaan warga Bangladesh, Mohammad Rasel Khan mengalami luka di kedua belah kaki dan tangan.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik HY untuk dibedah siasat dan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 8:28 PM