SALAH satu motosikal terbabit kemalangan berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
SALAH satu motosikal terbabit kemalangan berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


Yan: Pelajar tingkatan lima maut selepas motosikal ditunggang berlanggar dengan sebuah lagi motosikal lain di Jalan Sungai Limau Luar di sini, malam tadi.

Mangsa yang meninggal dunia adalah Muhammad Izham Md Yuro, 17, berasal dari Sungai Limau, Alor Setar.

Penunggang sebuah lagi motosikal, Mohd Sobri Shafiai, 29, dari Kampung Baru Nami, Sik, parah.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada 11 malam.

Beliau berkata, siasatan mendapati, pelajar terbabit yang menunggang Honda EX-5 dan seorang lagi penunggang Yamaha 135 LC dari arah sama iaitu Guar Chempedak ke Alor Setar.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal remaja terbabit melanggar belakang Yamaha 135 LC.

"Akibat dari perlanggaran itu, penunggang Yamaha 135 LC, parah dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar dengan menaiki ambulans, manakala remaja lelaki itu maut di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Yan untuk tujuan bedah siasat bagi mendapatkan punca kematian.

Shahnaz berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 8:57 AM