MPV yang remuk selepas terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal. FOTO ihsan pembaca
MPV yang remuk selepas terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal. FOTO ihsan pembaca
Nur Syazwana Mansor


Yan: Lelaki warga emas yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal maut selepas motosikal Honda EX5 ditunggangnya terbabit kemalangan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Bukit Besar, Jalan Alor Setar-Sungai Petani, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, Ramli Mustafa, 66, maut di tempat kejadian sementara pemandu kenderaan Proton Exora berusia 55 tahun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Yan Deputi Supritendan Muhamad Halim Yatim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadiaan itu.

Halim berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kejadian berlaku ketika pemandu MPV yang dalam perjalanan dari arah Sungai Petani menghala ke Alor Setar, apabila tiba di tempat kejadian, tiba-tiba motosikal yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan membelok ke kanan untuk masuk simpang ke Jalan Baru menghala ke Alor Pudak dan Kampung Gelam.

"Pemandu kereta terbabit cuba membrek dan menggelak, namun gagal akibat jarak yang terlalu dekat lalu merempuh mangsa menyebabkan dia terpelanting sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Yan untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2016 @ 4:07 PM