Noh ketika melancarkan Buku Pengurusan Strata di Konvensyen Badan Pengurusan Strata (JMB/MC) Peringkat Kebangsaan di PICC. Turut kelihatan Timbalan Ketua Setiausaha Kesejahteraan Bandar KPKT, Zamri Salleh, Setiausaha Bahagian Perkhidmatan Perbandaran, Datuk Mohamad Musa dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Noh ketika melancarkan Buku Pengurusan Strata di Konvensyen Badan Pengurusan Strata (JMB/MC) Peringkat Kebangsaan di PICC. Turut kelihatan Timbalan Ketua Setiausaha Kesejahteraan Bandar KPKT, Zamri Salleh, Setiausaha Bahagian Perkhidmatan Perbandaran, Datuk Mohamad Musa dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Siti A'isyah Sukaimi


KEMENTERIAN Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mencadangkan caj pengurusan dan penyelenggaraan bagi bangunan berstrata dimasukkan ke dalam cukai taksiran sekali gus mengelakkan penghuni daripada tertunggak bayaran.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, cadangan itu akan dibawa pada sesi mesyuarat akan datang bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membincangkannya bersama exco perumahan negeri bagi mendapatkan pandangan.

"Pihak Badan Pengurusan Strata (JMB) sering mengadapi masalah iaitu mereka sukar untuk mengutip caj pengurusan dan penyelenggaraan, jadi mungkin perlu dipertimbangkan kaedah supaya penghuni ini melaksanakan tanggungjawab mereka.

"Justeru, kita akan membincangkan perkara dalam mesyuarat PBT bersama exco perumahan negeri akan datang supaya caj pengurusan dan penyelenggaraan dimasukkan dalam cukai taksiran," katanya pada sidang media Konvensyen JMB di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya hari ini.

Selain itu, Noh berkata, beliau akan mengemukakan cadangan dikemukakan JMB kepada Kabinet berhubung pengecualian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi pembayaran meter pukal.

Dalam perkembangan lain, beliau menyeru semua kawasan perumahan serta bangunan berstrata untuk menubuhkan bomba komuniti dalam usaha pencegahan awal bagi sebarang kejadian kebakaran.

"Saya lihat ciri keselamatan untuk mencegah kebakaran dari segi gelung, pili bomba memang 'habis' (hilang) jadi penubuhan bomba komuniti langkah terbaik untuk mengatasi masalah berkenaan," katanya.

Berhubung isu kediaman dan kedai bekas pegawai Masjid Lapangan Terbang Subang (LTAS), Subang yang diroboh, Noh berkata, beliau beri kelulusan segera untuk menyediakan kediaman baharu kepada mereka yang terbabit.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan merobohkan struktur bangunan didiami dua bekas pegawai masjid itu sejak 24 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 10:19 PM