KEDIAMAN kelihatan buruk disebabkan sudah lama tidak dicat.
KEDIAMAN kelihatan buruk disebabkan sudah lama tidak dicat.
Muhamaad Razis Ismail


KEBANYAKAN pangsapuri yang kelihatan usang, buruk dan kemudahan yang rosak berpunca daripada tidak diselenggara dengan baik.

Antara faktor utama masalah ini timbul adalah sikap penghuni yang 'liat' dan 'culas' untuk membayar yuran penyelenggaraan sehingga kerja membaik pulih tidak dapat dilaksanakan.

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Kolej Pengajian Alam Bina, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Muhammad Azwan Sulaiman berkata, kerosakan yang paling utama adalah kemudahan asas seperti kebocoran bumbung, kerosakan lif, keadaan tangga, ruang tempat kereta dan bahagian guna sama yang lain.

"Selain itu, pangsapuri ini kelihatan buruk disebabkan sudah lama tidak dicat selain tumbuh kulat pada dinding selain boleh mencacatkan pandangan," katanya.

Menurutnya, masalah timbul apabila Badan Pengurusan Bersama (JMB) tidak dapat mengutip yuran penyelenggaraan daripada penghuni.

Katanya, kajian di pangsapuri usang yang berusia lebih 40 tahun mendapati kadar kutipan yuran penyelenggaraan hanya sekitar 20 hingga 30 peratus menyebabkan usaha menyelenggara bangunan itu tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

"Keadaan ini menyebabkan kebergantungan penyelenggaraan ini hanya kepada pihak berkuasa tempatan (PBT). Dalam situasi ini, biasanya PBT hanya melakukan penyelenggaraan bersifat 'corrective'," katanya.

Beliau berkata, soal siapa yang perlu bayar yuran penyelenggaraan ini sering menjadi perselisihan antara pemilik atau penyewa.

"Berdasarkan undang-undang sedia ada, pemilik bertanggungjawab membayar yuran penyelenggaraan. Perlu diingat tanggungjawab membayar yuran penyelenggaraan ini adalah kepada pemilik berdasarkan Seksyen 12(5) Akta Pengurusan Strata 2013.

SIKAP penghuni yang gagal mengurus sampah dengan baik boleh mengakibatkan denggi.
SIKAP penghuni yang gagal mengurus sampah dengan baik boleh mengakibatkan denggi.

"Selain itu, ia turut berpunca daripada aspek sikap penghuni sendiri yang tidak cakna dan ambil mudah dengan yuran penyelenggaraan," katanya.

Pada masa sama sikap penduduk yang tidak menjaga sebaik mungkin kemudahan bangunan itu menyebabkan kemudahan dan bangunan sering rosak.

"Sikap suka membuang sampah merata-rata dengan mencampak sahaja sampah dari atas menjadikan persekitaran pangsapuri ini amat buruk selain budaya vandalisme terhadap kemudahan di sekitar pangsapuri.

"Seterusnya berlaku ketidakseimbangan sosioekonomi dalam kalangan penghuni yang kebanyakannya adalah pendatang asing. Sifat dan budaya yang dibawa ke sini tidak sesuai mewujudkan keadaan tidak selamat dalam kalangan penduduk lain," katanya.

Jelasnya, persekitaran yang buruk dan tidak sempurna ini memberi kesan kepada kualiti hidup penghuninya kerana persekitaran fizikal tidak kondusif boleh menjejaskan psikologi penghuni seperti stres dan masalah sosial yang berterusan.

LIF antara kemudahan yang sering rosak apabila tidak diselenggara dengan baik.
LIF antara kemudahan yang sering rosak apabila tidak diselenggara dengan baik.

"Kesan langsung pula, menjadikan kawasan pangsapuri sebagai lokasi penyebaran penyakit seperti pembiakan nyamuk yang menyumbang kepada denggi, taun dan masalah pernafasan. Pengurusan sisa pepejal yang tidak terurus di pangsapuri ini menyebabkan penyakit berjangkit seperti taun.

"Pangsapuri ini juga boleh mencacat pemandangan terutama di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai yang sudah pasti memberi imej tidak baik kepada negara," katanya.

Dr Muhammad Azwan berkata, biarpun begitu, pangsapuri sebegini masih menjadi pilihan disebabkan dua faktor utama iaitu sewa murah dan lokasi strategik.

"Kebanyakan kadar sewa pangsapuri usang ini kadar tidak begitu mahal kerana kebanyakannya setiap unit memiliki dua bilik dan masih wujud kadar sewa di bawah RM500 di kawasan bandar.

"Ia bersesuaian untuk golongan B40 atau bujang yang baharu sahaja memulakan pekerjaan.

JMB memainkan peranan penting dalam memastikan keselesaan penghuni.
JMB memainkan peranan penting dalam memastikan keselesaan penghuni.

"Dari segi lokasinya pula, ia berada di kawasan yang strategik seperti di kawasan perindustrian dan berdekatan kemudahan pengangkutan menjadikan pangsapuri ini tetap menjadi pilihan," katanya.

Beliau berkata, pangsapuri menjadi buruk dan rosak tidak berlaku sekiranya yuran penyelenggaraan dikutip dengan baik daripada pemilik.

"Jadi, penguatkuasaan untuk memastikan yuran penyelenggaraan ini dapat dikutip dengan baik adalah amat penting bagi memastikan bangunan diselenggara dengan baik secara berkala.

"Mungkin yuran yang dikutip itu tidak cukup menanggung kos selenggara akibat peningkatan kos, kerajaan boleh membantu memberi subsidi.

"Bagaimanapun, kita tidak boleh bergantung harap kepada kerajaan sahaja. Pokoknya mesti datang daripada penghuni sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 7:00 AM