Haslah (dua dari kiri) menunjukkan dadah dan barangan dirampas. FOTO Amran Yahya
Haslah (dua dari kiri) menunjukkan dadah dan barangan dirampas. FOTO Amran Yahya
Amran Yahya


KESUCIAN sebuah surau tercemar berikutan dua individu dipercayai pengedar dadah dengan menjadikannya sebagai markas membungkus bahan terlarang berkenaan di Kampung Tengkek, di Kuala Pilah, semalam.

Kegiatan dipercayai berlarutan sejak lima bulan bagaimanapun berjaya dihidu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah, menerusi Ops Sarang.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Haslah Bachok berkata serbuan pada jam 5.15 pagi menahan kedua-dua pengedar berusia 29 dan 45 tahun di surau terbabit.

“Hasil pemeriksaan menemui heroin seberat 52 gram (g), methamphetamine (5 g) selain merampas peralatan dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.

“Siasatan juga mendapati, harga setiap paket dadah dijual antara RM30 hingga RM100 mengikut jenis dan berat. Polis percaya bekalan dadah dibawa masuk dari luar daerah sebelum dibungkus dan dijual untuk kegunaan di daerah ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah, hari ini.

Dalam kes berasingan, Haslah berkata, polis menahan seorang lelaki dipercayai penagih di dalam semak berhampiran ladang kelapa sawit di Kampung Tampin Pus jam 9.20 pagi hari sama.

"Tangkapan itu membolehkan polis menemui heroin seberat 25.8 gram, senapang angin buatan sendiri bersama sebungkus beg plastik berisi 69 biji guli.

"Selain itu, sembilan lagi suspek dipercayai penagih diberkas di kawasan sama antara jam 9.30 pagi hingga 1.30 petang," katanya.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ dan dua buah motosikal Modenas Kriss selain wang tunai RM3,000.

“Semua ditahan berusia antara 29 hingga 53 tahun dengan lima antaranya bekerja sebagai penoreh manakala bakinya penganggur.

"Semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah selain positif dadah jenis opiate.

"Suspek direman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut seksyen 39B, Seksyen 39A(1) dan seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Selain itu, polis turut menyiasat seorang suspek mengikut seksyen 36(1) Akta Senjata 1960,' katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 7:19 PM