ONG Leng Soo (dua kiri) dan Teoh Tian Sim (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Taiping. FOTO L Manimaran
ONG Leng Soo (dua kiri) dan Teoh Tian Sim (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Taiping. FOTO L Manimaran
Mohd Hafizee Mohd Arop


DUA nelayan masing-masing didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen Taiping, hari ini atas kesalahan menggunakan kelengkapan komunikasi iaitu set parabola yang tidak dibenarkan, dua tahun lalu.

Tertuduh, Ong Leng Soo, 48, dan Teoh Tian Sim, 52, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan yang juga kes pertama di Perak itu dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan, Leng Soo didakwa menggunakan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui sebagaimana yang dikehendaki oleh Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 iaitu satu unit dekoder tiada jenama, satu unit 'low noise block down converter' (LNB) dan satu unit antena parabola tiada jenama.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di No 397, Jalan Pantai, Kuala Kurau, Kerian, 10.45 pagi pada hari sama.

Manakala Tian Sim pula didakwa atas kesalahan sama yang dilakukannya di No 400B, Jalan Pantai, Kuala Kurau, Kerian, 11.40 pagi 29 Julai 2015.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Peraturan 16(1)(b) Peraturan- Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 dibaca bersama Peraturan 16 (3) dan boleh dihukum mengikut Peraturan 37 peraturan-peraturan yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Norhani Mohd Adzhar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Rohaida kemudiannya menjatuhkan hukuman denda masing-masing sebanyak RM4,000 dan dua bulan penjara sekiranya gagal bayar, manakala kesemua peralatan dilupuskan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 6:54 PM