Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Padah menjual kelengkapan komunikasi tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), sebuah syarikat dan pengarahnya didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim M M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman denda itu terhadap V&C Infinity Enterprise Sdn Bhd dan Alex Ooi Hee Choon selaku orang kena saman (OKS) selepas mengaku bersalah terhadap kesalahan itu.

Mengikut kertas pertuduhan, syarikat berkenaan didakwa menjual kelengkapan komunikasi tidak diperakui sebagaimana dikehendaki Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 iaitu dua walkie-talkie jenama Baofeng model UV-5RA dan tiga walkie-talkie jenama Baofeng model BF888-S.

Kesalahan berkenaan dilakukan di sebuah premis di Pusat Perdagangan Persiaran Jalil 3, Bukit Jalil pada 10.30 pagi, 2 Oktober 2019.

Berikutan itu, syarikat berkenaan didakwa mengikut Peraturan 16(1)(b) Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 37 peraturan sama memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih enam bulan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Alex, 29, sebagai pengarah syarikat berkenaan turut didakwa atas kesalahan sama pada masa dan lokasi yang sama.

Mengikut fakta kes, pegawai SKMM menjalankan serbuan di premis berkenaan selepas menerima aduan daripada seorang lelaki mengenai penjualan peralatan komunikasi tidak diperakui dan hasil serbuan berjaya merampas lima walkie-talkie.

Pegawai Pendakwa SKMM Mai Zairani Zainal Abidin yang mengendalikan kes memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal yang boleh memberi pengajaran kepada OKS supaya tidak mengulangi kesalahan.

Alex dalam rayuannya pula memohon hukuman denda rendah kerana pengakuan bersalahnya sudah menjimatkan masa mahkamah, malah syarikat mengalami masalah kewangan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM4,000 terhadap syarikat dan pengarahnya, atau boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 12:29 PM