GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman denda RM150,000 terhadap empat lelaki kerana menggunakan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Hakim, N Priscilla Hemamalini, membuat keputusan itu selepas Chua Vi Vern, 32, Lu En Ci, 25, Liew Kok Chun, 28 dan Kitmikael, 22, mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Vi Vern didenda RM60,000 kerana dua pertuduhan, manakala tiga lagi lelaki masing-masing didenda RM30,000 atas satu pertuduhan.

Mahkamah turut mengarahkan lelaki terbabit sebagai orang kena saman (OKS) dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, semua lelaki itu menggunakan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui mengikut Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 iaitu 52 unit Sim Box tiada jenama dan model.

Penggunaan kelengkapan komunikasi itu di dua residensi dan sebuah kondominium di Kuchai Lama, di sini, pada 25 November 2021 dan 19 Januari 2022.

Kesalahan mengikut Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 serta Peraturan 16(3) Peraturan-Peraturan sama yang boleh dihukum di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan sama.

Ia memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan maksimum enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, semua OKS yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum dan tidak dikenakan hukuman penjara.

Ada antara mereka yang memberi alasan tidak mampu membayar denda tinggi, perlu menyara keluarga dan bapa menghidap angin ahmar.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nazhzilah Mohammad Hashim, berkata hukuman wajar mengambil kira faktor kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi.

"Mahkamah perlu mempertimbangkan hukuman yang setimpal, berbentuk pengajaran dan konsisten supaya OKS tidak mengulangi kesalahannya serta memberi mesej jelas kepada masyarakat mengenai keseriusan kesalahan.

"Ingin saya menarik perhatian mahkamah bahawa trend denda atas kesalahan sama adalah antara RM5,000 hingga RM7,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 4:04 PM