Dua lelaki dijatuhi hukuman denda RM22,000.
Dua lelaki dijatuhi hukuman denda RM22,000.
BERNAMA

DUA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah Taiping, Perak, atas pelbagai kesalahan pelanggaran terhadap perundangan komunikasi dan multimedia negara.

Dalam kes pertama, tertuduh, Norimran Kusairie Ibrahim, 39, didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan menghantar komunikasi bertujuan mengugut seorang wanita yang bekerja sebagai operator kilang.

Kesalahan itu dilakukan pada 13 Mei 2016 di Kuala Kurau, Perak.

Tertuduh mengaku bersalah dan memohon dikenakan hukuman ringan.

Hakim Mahkamah Sesyen Rohaida Ishak dalam penghakimannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM18,000 atau penjara selama enam bulan jika gagal membayarnya.

Sementara itu dalam kes kedua, seorang nelayan turut didakwa di mahkamah sama atas tuduhan menggunakan peralatan komunikasi tidak diperakui mengikut Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Khoo Teng Chooi, 56, didakwa mengikut Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM4,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 11:54 AM