ANGGOTA polis Klang Utara melakukan serbuan di premis pusat judi haram  di Jalan Pulau Pinang 3.
ANGGOTA polis Klang Utara melakukan serbuan di premis pusat judi haram di Jalan Pulau Pinang 3.
Siraj Mohd Zaini


Klang: Khidmat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terpaksa dikerahkan berikutan penjaga sebuah premis perjudian haram di Jalan Pulau Pinang 3, di sini, enggan membuka pintu ketika serbuan dijalankan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, di sini, malam kelmarin.

Dalam operasi jam 11 malam, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang mengambil masa 15 minit untuk membuka pintu besi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, premis yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) itu dipercayai beroperasi sejak dua bulan lalu.

Menurutnya, ketika serbuan, seramai 11 pelanggan dan lima penjaga premis warga asing termasuk empat wanita didapati berada di dalam bangunan empat tingkat berkenaan.

“Modus operandi premis ini hanya membenarkan pelanggan tetap untuk masuk dan menjalankan aktiviti perjudian.

“Hasil pemeriksaan polis mendapati lima penjaga premis itu tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta pasport yang sudah tamat tempoh,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, operasi diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Klang Utara Asisten Superintendan Norsanizam Nordin itu mendapati premis tiada papan tanda dan hampir menyerupai sebuah pejabat yang menjalankan perniagaan barangan elektrik.

“Operasi yang turut disertai Majlis Perbandaran Klang (MPK) itu turut merampas 32 unit komputer, dua mesin perjudian simulator serta modem.

“MPK turut menyita barangan di dalam premis berkenaan. Hasil siasatan premis ini tidak pernah diserbu lagi kerana baru saja beroperasi,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 9:54 AM