ANGGOTA polis memeriksa komputer riba digunakan dalam aktiviti judi siber di sekitar Klang dan Pelabuhan Klang, hari ini. FOTO ihsan polis.
ANGGOTA polis memeriksa komputer riba digunakan dalam aktiviti judi siber di sekitar Klang dan Pelabuhan Klang, hari ini. FOTO ihsan polis.
Faliq Lajim


POLIS menahan 25 individu termasuk lima warga asing selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan judi siber haram dalam serbuan ‘Ops Dadu JOL (Judi Online)’ di empat premis di sekitar Klang dan Pelabuhan Klang sejak awal pagi hingga petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, menerusi operasi yang diadakan bersama pasukan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, itu pihaknya merampas 46 komputer riba, empat komputer riba kawalan utama dan lima modem.

Selain itu, beliau berkata, wang tunai berjumlah RM3,642 dipercayai hasil pertaruhan kaki judi turut dirampas.

“Hasil pemantauan, didapati kegiatan JOL itu mula beroperasi pada Mac lalu.

“Pihak IPD Klang Selatan menubuhkan 14 pasukan bagi membanteras aktiviti itu, namun ia masih beroperasi menggunakan pelbagai modus operandi (MO) bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, sindiket berkenaan hanya membenarkan pelanggan tetap atau kenalan sahaja untuk masuk ke dalam premis perjudian itu.

Menurutnya, premis perjudian menggunakan pintu besi tebal yang hanya boleh dibuka menggunakan alat kawalan jauh serta dilengkapi pintu rahsia untuk memudahkan pelanggan serta pekerja melarikan diri sekiranya premis diserbu.

“Malah, seorang individu ditempatkan di hadapan kedai sebagai pemerhati sekiranya ada pihak berkuasa datang,” katanya.

Shamsul Amar berkata, pemantauan akan dipertingkatkan lagi bagi membanteras kegiatan perjudian berkenaan.

Beliau berkata, selain itu, pihaknya meminta masyarakat untuk menyalurkan maklumat berhubung kegiatan perjudian terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 10:28 PM