MOHD Azmi (tiga dari kanan) pada sidang akhbar perhimpunan sejuta rakyat Malaysia, semalam.
MOHD Azmi (tiga dari kanan) pada sidang akhbar perhimpunan sejuta rakyat Malaysia, semalam.
Ayusliza Azizan


Shah Alam: Kira-kira 100,000 dijangka berkumpul pada Perhimpunan Semangat Sejuta Umat Malaysia & World Of Anger-Rohingya bertujuan mengajak dunia bangkit menentang kekejaman terhadap etnik berkenaan.

Himpunan itu dijangka diadakan 28 Oktober atau 4 November ini di Stadium Bukit Jalil.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya berhasrat menjemput Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pemimpin lain, wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), pemenang hadiah nobel serta tokoh dunia.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan penyertaan 1,000 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada himpunan berkenaan.

“Ada kuasa dunia dilihat berkompromi terhadap pembunuhan dan kami kecewa dengan perkara itu seolah-olah dunia bersekongkol dengan pembunuhan terbabit.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita tak boleh menunggu, justeru kita menyeru masyarakat bangkit berhimpun untuk menyampaikan mesej tegas kepada dunia.

“Kita jangka 50 bandar raya di seluruh dunia turut serentak berhimpun menyuarakan bantahan,” katanya semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 3:13 AM