AUNG San Suu Kyi. FOTO FILE REUTERS
AUNG San Suu Kyi. FOTO FILE REUTERS
AFP

The Hague: Kerajaan Junta Myanmar bersedia menggantikan Aung San Suu Kyi di mahkamah utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hari ini, dalam usaha mengenepikan kes berkaitan dakwaan pembunuhan beramai-ramai terhadap Muslim Rohingya.

Suu Kyi mewakili Myanmar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) apabila kes itu mula didengar pada Disember 2019, tetapi dia disingkirkan daripada pemimpin orang awam ketika rampasan kuasa tentera, tahun lalu.

Pemenang Anugerah Nobel itu yang berdepan kecaman hebat daripada kumpulan hak asasi manusia berikutan pembabitannya dalam kes itu, kini dipenjarakan dan didakwa oleh sekumpulan jeneral yang dipertahankannya di The Hague.

Dalam hujahan bantahan awalnya semalam, Myanmar mendakwa mahkamah itu tiada bidang kuasa terhadap kes berkenaan dan perlu membuangnya sebelum sesi pendengaran bermula.

Media tempatan Myanmar melaporkan, delegasi kerajaan junta itu kini diketuai Menteri Kerjasama Antarabangsa, Ko Ko Hlaing dan Peguam Negara, Thida Oo, dalam perbicaraan secara maya.

Kedua-duanya berdepan sekatan Amerika Syarikat (AS) selepas rampasan kuasa tentera.

Kes itu dibawah ke mahkamah oleh negara muslim Afrika iaitu Gambia yang mendakwa kerajaan Buddha Myanmar melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas penduduk minoriti Rohingya menerusi gerakan tentera pada 2017.

ICJ membuat ketetapan awal pada Januari 2020 bahawa Myanmar mesti mengambil pelbagai langkah untuk menafikan dakwaan pembunuh beramai-ramai itu pada ketika perbicaraan dijangka mengambil masa bertahun-tahun itu berjalan.

Gambia akan memberikan hujahan balas pada Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 1:01 PM