Hasan suka jalan cerita This Is Pilah yang menonjolkan keindahan warisan Negeri Sembilan. FOTO AMRAN YAHYA
Hasan suka jalan cerita This Is Pilah yang menonjolkan keindahan warisan Negeri Sembilan. FOTO AMRAN YAHYA
Raja Noraina Raja Rahim


PERSETUJUAN Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek untuk membintangi filem This Is Pilah adalah sebagai tanda sokongan kepada usaha dibuat anak muda memperkenalkan Negeri Sembilan.

Hasan berkata, beliau menerima tawaran itu kerana sukakan jalan ceritanya menonjolkan keindahan warisan Negeri Sembilan, yang masih ramai tidak tahu.

Filem komedi romantik berlatar belakang Adat Perpatih arahan Rosdi Md Dali, terbitan Madness Film Sdn Bhd (Madness Film) itu dijangka ditayangkan pada awal tahun depan.

Duta Besar Malaysia ke Kemboja itu berkata, beliau akan kembali ke Malaysia pada hujung minggu ini untuk memulakan penggambaran membabitkan wataknya dalam filem terbabit.

"Saya menerima tawaran itu kerana suka jalan cerita dan watak diberi sesuai. Ia hanya sumbangan kecil saya sebagai tanda sokongan kepada usaha dibuat bakat muda dalam industri filem tempatan dan berharap, lebih ramai anak muda mengikutinya.

"Bagi saya, tiada apa yang pelik kerana saya menjadi diri sendiri dalam filem. Ini cara saya untuk menghormati negeri kesayangan saya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, komen negatif segelintir pihak mengenai persetujuannya berlakon dalam filem itu tidak menjejaskan reputasinya sebaliknya beliau mempunyai perancangan sendiri berbuat demikian.

"Saya sudah merancang untuk memperkenalkan filem itu ke Kemboja, ia bukan saja dapat memperkenalkan filem tempatan ke dunia luar, tetapi juga memperkenalkan keindahan warisan Negeri Sembilan kepada orang asing," katanya.

Filem itu menggunakan sepenuhnya dialek Negeri Sembilan, mengisahkan seorang pemuda kelahiran Kuala Pilah berhasrat berkahwin dengan gadis impiannya dari kumpulan etnik sama.

Portal berita Harian Metro pada 27 Ogos lalu melaporkan, Hasan akan membintangi filem This Is Pilah yang bakal memulakan penggambaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 5:07 PM