ENJIN No. 9
ENJIN No. 9
Amirul Haswendy Ashari

Malaysia adalah negara yang unik dengan kepelbagaian dialek.

Setiap satu negeri mempunyai dialek tersendiri sekali gus memberi kelebihan tersendiri.

Dari sudut filem, kelebihan itu menjadikan pembikin mempunyai lebih banyak idea untuk menghasilkan sebuah filem bersifat Malaysia.

Menariknya, ada antara dialek tempatan ini lebih sesuai untuk filem bergenre serius yang boleh dibanggakan dek penghormatan diterima di dalam dan luar negara. Ada juga dialek dijadikan sekadar hiburan jenaka santai penonton.

Bling! minggu ini menyenaraikan 10 filem tempatan yang menggunakan sepenuhnya atau sebahagian dialek atau loghat tempatan sebagai bahasa pertuturan watak dalam filem.

Enjin No. 9

Filem arahan Raja Azmi ini baru saja ditayangkan bermula Khamis lalu dan menampilkan pelakon seperti Tajul Arif, Ayunie Harris, Kazar Saisi, Datin Fadilah Mansor, Sharifah Shahira dan ramai lagi.

Menariknya, filem sulung terbitan Rangkaian Melati Production Sdn Bhd ini menggunakan hampir 80 peratus dialek Negeri Sembilan.

Penggunaan dialek ini adalah bersifat penghormatan daripada penerbitnya, Tengku Azalli Tengku Sulaiman yang mahukan sebuah karya ringan dan boleh dijadikan hiburan buat penonton yang mahu mencari kelainan dalam penceritaan tempatan.

This Is Pilah

Sebuah lagi filem yang menggunakan dialek Negeri Sembilan, tetapi lebih pekat berbanding Enjin No. 9.

Filem arahan Rosli Md Dali ini menampilkan anak seni yang memang berasal dari Negeri Sembilan seperti Waris, Juzzthin dan Ara AF.

Malah, bagi menarik lebih perhatian adalah dengan kemunculan istimewa Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek.

This Is Pilah adalah filem bergenre komedi berkisar Adat Perpatih yang umum tahu adalah adat unik digunakan oleh sebahagian besar masyarakat setempat serta terkenal dengan budaya Minangkabau.

Filem ini masih menanti tarikh tayangan dan dijangka ditayangkan sebelum penghujung tahun ini.

Jogho

Jogho adalah sebuah filem masyarakat menggunakan 100 peratus dialek Kelantan arahan U-Wei Hj Saari yang ditayangkan pada 28 Mac 1999.

Filem dibintangi Khalid Salleh dan Normah Damanhuri ini meraih lima anugerah Festival Filem Malaysia ke-14 termasuk Filem Terbaik.

Jogho turut menang pada Anugerah Skrin 1999 untuk lima kategori utama termasuk kategori Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Pada Festival Filem Asia Pasifik ke-43 1998 di Taipei, filem ini berjaya memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Khalid Salleh.

Filem ini memiliki kritikan sosial yang agak berat dan pernah dibawa ke tayangan khas beberapa festival filem antarabangsa serta mendapat maklum balas menarik daripada pengkritik antarabangsa.

JOGHO
JOGHO

Bunohan

Sebuah lagi filem menggunakan dialek Kelantan yang cukup popular abad ini adalah Bunohan.

Filem ini diinspirasikan daripada pemerhatian pengarahnya sendiri, Dain Iskandar Said yang juga anak kelahiran daerah itu.

Selain memiliki sinematografi yang memukau, filem ini memiliki bahasa filem yang cukup mendalam berkisar budaya, masyarakat dan kekeluargaan yang jarang diketengahkan dalam mana-mana filem tempatan, sebelum ini.

Ia menampilkan barisan pelakon hebat seperti Faizal Hussein, Zahiril Azim, Bront Palarae, Namron dan Soffi Jikan.

Bunohan antara filem yang berjaya di luar negara seperti di Festival Filem Antarabangsa Toronto 2011, Festival Filem Golden Horse Taipei 2011 dan terpilih ke sesi pencalonan untuk Filem Bahasa Asing Terbaik di Anugerah Akademi ke-85.

Walaupun gagal mendapat perhatian penonton tempatan untuk menonton di pawagam, filem ini tetap mencipta sejarah peribadi di Festival Filem Malaysia apabila menggondol lapan anugerah termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik.

BUNOHAN
BUNOHAN

Perangsang Rentap

Biarpun filem ini berdepan pelbagai kontroversi dari awal pembikinan termasuk beberapa rendisi yang gagal disiapkan dek isu dalaman yang tidak diketahui umum, filem terbitan Unique Twins ini tetap memiliki keunikan sendiri kerana penggunaan dialek Iban yang popular di Sarawak.

Filem bergenre drama sejarah ini menggunakan latar sekitar masyarakat Iban yang cuba memberontak pada era penjajahan Inggeris sekitar abad ke-19 di Sarawak.

Walaupun unik dengan subjek, kostum dan dialek, filem ini gagal mendapat perhatian masyarakat.

PERANGSANG Rentap
PERANGSANG Rentap

Tombiruo

Filem bergenre aksi ini menggunakan kurang 50 peratus bahasa Kadazan Dusun yang juga dialek pertuturan sebahagian besar keturunan itu di Sabah.

Walaupun kurang 50 peratus dialek itu digunakan, filem adaptasi novel popular karya Ramli Awang Murshid pada 1998 ini berjaya membuatkan penonton tempatan untuk bercakap mengenai penggunaan dialek itu sekali gus mempopularkan lagi loghat itu untuk diketahui masyarakat tempatan.

Tombiruo ditayangkan pada Oktober 2017 adalah arahan Pengarah dan Pengarah Kesan Visual, Seth Larney yang mempunyai pengalaman luas dalam pembikin kesan khas di luar negara.

TOMBIRUO
TOMBIRUO

Hantu Kak Limah Balik Rumah

Walaupun genrenya adalah komedi seram, filem arahan Mamat Khalid ini mempunyai tarikan unik dek penceritaan, perwatakan dan dialek yang digunakan.

Filem ini dianggap bijak mengkritik masyarakat secara santai tanpa perlu mengguris hati mana-mana pihak.

Bercakap di segi dialek, penggunaan dialek Perak yang pekat oleh sebahagian besar pelakon berjaya menjadikan beberapa bait dialog malar segar dan disebut-sebut peminat.

Malah, filem ini juga dianggap berjaya mempopularkan dialek Perak yang kedengaran ‘kelakar’ tetapi serius pada masa sama.

Beberapa rendisi filem karya Mamat selepas itu terus menggunakan dialek sama dalam dialog sekali gus menjadikan ia dialek paling popular dalam drama dan filem setakat ini.

HANTU Kak Limah Balik Rumah
HANTU Kak Limah Balik Rumah

Mr Os

Jika penonton masa ini percaya filem Hantu Kak Limah Balik Rumah sebagai pencetus populariti dialek Perak, penonton era 1980-an pula melihat filem Mr Os sebagai pencetus awal penggunaan dialek itu di dalam filem warna.

Filem arahan A R Badul ini berjaya mencipta fenomena tersendiri pada 1987 tatkala ditayangkan di pawagam tempatan.

Malah pelakon utamanya, Allahyarham Mohd Yusof Abdul Hamid atas Os yang berasal Kuala Kangsar terus dikenali dengan dialek negeri itu.

Mami Jarum

Jika filem arahan Mamat Khalid mempopularkan dialek Perak, filem Mami Jarum arahan Prof Datuk A Razak Mohaideen pada 2002 ini pula berjaya mempopularkan dialek utara terutama Pulau Pinang.

Dialek itu sangat sinonim kalangan keturunan India-Muslim yang dikenali dengan jolokan ‘Mamak’ atau Mami.

Pertuturan dialek yang berirama disertakan dengan gaya dan bahasa tubuh tersendiri menjadikan penggunaan dialek itu antara popular diperkatakan peminat filem tempatan awal tahun 2000.

Filem ini menampilkan barisan pelakon yang memang berasal dari utara antaranya Rita Rudaini, Kartina Aziz dan Ezad Lazim.

MAMI Jarum
MAMI Jarum

Anak Mami

Anak Mami adalah sebuah filem berdasarkan telefilem bersiri Anak Mami dan Menantu Mami Cucu Mami yang berkisarkan golongan anak mami, sebuah kelompok masyarakat di Pulau Pinang, Malaysia.

Melalui judul dan idea inilah filem menggunakan dialek popular dari utara mula popular pada awal tahun 2000 sehinggalah 2017 lalu.

Pengarahnya, A Razak boleh dianggap bijak dalam membudayakan budaya dan dialek ini kepada masyarakat tempatan sekali gus memberi pendedahan lebih luas kepada masyarakat setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 3:37 AM