FILEM terbitan AA Success Pictures Sdn Bhd kini ditayangkan di pawagam.
FILEM terbitan AA Success Pictures Sdn Bhd kini ditayangkan di pawagam.
Ramlah Zainal


BEBERAPA filem dan drama tempatan yang mengangkat loghat dan tradisi negeri tertentu berjaya mencetus fenomena tersendiri.

Naskhah berkenaan antaranya This Is Pilah! mengetengahkan loghat Negeri Sembilan, Mak Cun (Kedah/Utara), Bunohan (Kelantan), Budak Kelantan (Kelantan), Cun! (Kedah/Utara), Mami Jarum, Nana Tanjung (Utara), Hantu Kak Limah Balik Rumah (Perak), Tombiruo (Kadazan Dusun) serta banyak lagi mempunyai keunikan tersendiri.

Penerbit filem, Azman Ahmad menerusi AA Success Pictures Sdn Bhd berkata pihaknya mendapat ilham menghasilkan filem Mat Kola berdasarkan konsep yang diterapkan pengarah terkenal Datuk Prof A Razak Mohaideen seperti Mami Jarum, Nana Tanjung dan beberapa filem lagi.

Katanya, filem Mat Kola arahan Hafiz Nafiah turut mengetengahkan sepenuhnya loghat utara.

"Harapan saya filem ini akan membuahkan hasil di utara. Dengan bajet keseluruhan hampir mencecah RM1 juta, saya yakin ia bukanlah bersifat 'syok sendiri'.

"Tidak semestinya filem dengan bajet besar dan menampilkan pelakon hebat mendapat sambutan. Saya reda kalau orang mahu kritik filem ini sebab saya tak boleh tutup mulut orang.

"Saya buat apa yang terbaik, namun tak boleh 'syok' sendiri. Saya berbincang dengan pasukan apa yang ingin dilakukan.

"Sebagai penerbit, sudah tentu saya mahu dapatkan keuntungan dan jika kutipan cecah RM1 juta pun saya cukup bersyukur," katanya.

HAFIZ Nafiah buat pertama kali mengarahkan filem Mat Kola papar kisah peniaga burger.
HAFIZ Nafiah buat pertama kali mengarahkan filem Mat Kola papar kisah peniaga burger.

Sementara itu, Hafiz yang pernah mendapat bimbingan Prof A Razak berkata dia menanti detik yang sesuai selepas menimba pengalaman lebih dua dekad sehingga berjaya duduk di kerusi pengarahan.

"Berbekal pengalaman luas, baru saya sedia galas tugas pengarah. Saya percaya tidak semua orang akan dapat peluang keemasan ini.

"Saya sudah lama bersedia menduduki kerusi pengarah drama, namun, tawaran yang datang adalah projek filem.

"Saya harap filem Mat Kola akan menjadi titik permulaan untuk membuktikan kerjaya sebagai pengarah," katanya.

Filem Mat Kola mengisahkan persahabatan tiga anak jati Kuala Kedah iaitu Mat Ki, Mat Yon dan Mat Not yang berdepan pelbagai masalah dalam kehidupan sebelum nekad bekerjasama menjual burger seterusnya membuka gerai.

Mat Kola yang ditayangkan sejak minggu lalu menampilkan lakonan Usop, Azman, Taiyuddin, Rozita Che Wan, Ropie, Putri Hanan, Fendi London, Mohd Hafeezul Yop, Zainon Ismail, Suhaili Che Rus dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 6:06 AM