FOTO Muhaizan Yahya
FOTO Muhaizan Yahya
Farah Suhaidah Othman


JABATAN Imigresen Perak menahan 36 pendatang tanpa izin (PATI) dalam Ops Ikrar di dua lokasi berasingan di kawasan Menglembu, Ipoh susulan tempoh tamat pendaftaran kad sementara ‘Enforcement Card’ (E-Kad) tamat semalam.

Operasi yang bermula pada jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari membabitkan 26 pegawai dan anggota jabatan berkenaan di kawasan perindustrian dan tapak projek pembinaan di Menglembu.

Semua yang ditahan berusia antara 25 hingga 50 tahun membabitkan pelbagai warga negara.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan, Suhairie Bah Ali berkata seramai 90 PATI diperiksa di kedua-dua lokasi dan 36 daripada mereka ditahan atas pelbagai kesalahan.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama di sebuah kilang memproses sosej di Kawasan Perindustrian Chandan Raya, Menglembu, pihaknya menahan 23 lelaki warga Myanmar dan lapan lelaki warga Nepal.

Katanya, dalam operasi itu seorang lelaki berusia 40an dipercayai majikan turut ditahan untuk siasatan lanjut.

“Antara kesalahan dikesan dalam operasi pertama termasuk tidak mempunyai dokumen dan salah guna pas kerja.

“Lelaki yang dipercayai majikan turut ditahan kerana melindungi PATI dan kita tahan dalam tempoh 24 jam untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di sini, hari ini.

Suhairie berkata, dalam serbuan kedua empat ditahan termasuk seorang wanita di tapak pembinaan di Kawasan Perindustrian Menglembu Impian, Menglembu di sini.

“Antara ditahan seorang lelaki warga Bangladesh serta dua lelaki dan seorang wanita warga Indonesia,” katanya.

Beliau berkata semua PATI yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas.

“Semua tahanan dibawa untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke Depot Imigresen Langkap untuk tahanan selama 14 hari sementara siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2017 @ 3:57 PM