ANGGOTA TUDM Load Master Mohd Azril Mohd Ayob melakukan persiapan sebelum berlepas ke Sulawesi, Indonesia bagi Misi Bantuan Kemanusiaan menggunakan pesawat A400M dari Pangkalan Udara Subang. FOTO Bernama
ANGGOTA TUDM Load Master Mohd Azril Mohd Ayob melakukan persiapan sebelum berlepas ke Sulawesi, Indonesia bagi Misi Bantuan Kemanusiaan menggunakan pesawat A400M dari Pangkalan Udara Subang. FOTO Bernama
Faliq Lajim


TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) berlepas ke Jakarta bagi melaksanakan misi penghantaran bantuan kemanusiaan Sulawesi dari Pangkalan Udara Subang, hari ini.

Misi penghantaran menggunakan pesawat TUDM A400M itu disertai 23 orang pegawai dan juga anggota serta tiga wakil media yang diketuai Pegawai Memerintah No 22 Skuadron, Leftenan Kolonel, Baharin Mohamad.

Pengangkut TUDM jenis A400M diperlukan bagi membawa keperluan peralatan seperti mesin dan jentera untuk kegunaan ketika di lokasi bencana itu.

Ia berkeupayaan untuk membawa muatan bersaiz lebih besar serta lebih berat berbanding kemampuan pesawat C130H.

Komander Pangkalan Udara Subang, Brigadier Jeneral Datuk Muhammad Mudzamir Ong Abdullah berkata, misi itu adalah susulan kenyataan kerajaan Indonesia yang mengalu-alukan bantuan daripada luar.

"Kerajaan Malaysia menyahut seruan itu dengan menugaskan pesawat A400M, untuk lakukan misi bantuan kemanusiaan ini.

"Pesawat berlepas ke Jakarta melalu Pangkalan Udara Subang yang mengambil masa perjalanan kira-kira dua jam. Di sana akan bermula misi dengan mengambil muatan terutamanya jentera-jentera berat.

"Dari Jakarta kita akan terbang ke Lapangan Terbang Palu yang mengambil masa dua jam 45 minit. Kita jangkakan akan berulang alik ke Jakarta sebanyak dua penerbangan sehari selama empat hari" katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media Misi Penghantaran Bantuan Kemanusiaaan Sulawesi di Pangkalan Udara Subang, semalam.

Muhammad Mudzamir Ong berkata, A400M juga turut akan membawa 22 tan bantuan perubatan dariPersekutuan Palang Merah Antarabangsa (ICRC) Malaysia ke Jakarta.

Katanya lagi, setakat ini TUDM hanya mengunakan satu pesawat dan akan menghantar pesawat lain sekiranya ia diperlukan.

Dalam pada itu, beliau berkata, TUDM sentiasa dan akan terus komited untuk menghulurkan bantuan serta memberi kerjasama yang padu terutama dalam kalangan negara serantau yang mengalami keadaan darurat seumpama ini.

NSTP difahamkan, pesawat A400M juga sudah empat kali terbabit dalam misi bantuan kemanusiaan termasuk bantuan untuk Rohingnya di Bangladesh dan juga ribut tropika di Laos.

Jumaat lalu, Sulawesi Tengah dilanda gempa bumi dengan kekuatan 7.4 pada Skala Richter serta tsunami yang menyebabkan lebih 1,000 orang disahkan terkorban sehingga kini.

Kejadian itu, turut memusnahkan ribuan bangunan dan kediaman yang menyebakan rata-rata mereka hilang tempat tinggal.

Selepas kejadian gempa bumi itu juga sebanyak 250 gempa susulan direkodkan sehingga kini.

Lagi berita berkaitan Palu Merintih

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 10:08 PM