PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor ketika bergambar sebelum Perlepasan Misi Kemanusiaan untuk Rohingya di Pangkalan Udara TUDM Subang. FOTO Sairien Nafis
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor ketika bergambar sebelum Perlepasan Misi Kemanusiaan untuk Rohingya di Pangkalan Udara TUDM Subang. FOTO Sairien Nafis
Idris Musa


BAGI membantu menangani krisis kemanusiaan etnik Rohingya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersiap sedia dengan pasukan khas untuk digerakkan ke kawasan berkenaan pada bila-bila masa.

Panglima ATM Jeneral, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, pihaknya memantau rapat perkara berkenaan dan sudah mewujudkan pasukan khas.

"Dan pasukan ini boleh bergerak pada bila-bila masa. Kalau kata nak bergerak hari ini dalam masa tiga jam kita mampu melakukannya.

"Pasukan berkenaan telah sedia sekarang dan Kementerian Pertahanan amat prihatin perkara ini. Dan kelulusan juga telah diberikan oleh Menteri Pertahanan (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) untuk kita terlibat secara langsung dalam kerja bantuan kemanusiaan ini," katanya pada sidang media sempena pelepasan pesawat Misi Kemanusiaan Untuk Rohingya di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, hari ini.

Pelepasan itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ia membabitkan dua pasukan, dengan didahului pasukan tinjauan ke Chittagong, Bangladesh diketuai Ketua Staf Markas Angkatan Bersama Laksamana Muda Datuk Pahlawan Mohamad Adib Abdul Samad.

Kemudian, pasukan kedua akan ke Dhaka diketuai Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal.

Tinjauan dilakukan bertujuan mendapatkan gambaran sebenar dan mengenal pasti bentuk bantuan kemanusiaan yang mampu disediakan oleh Kementerian Pertahanan dan ATM.

Ia turut meliputi keperluan rancangan penempatan kontinjen ATM serta bentuk bantuan fizikal yang akan disediakan kerajaan Bangladesh.

Antaranya perlindungan keselamatan, kemudahan logistik termasuk bentuk bantuan fizikal yang diperlukan oleh kerajaan Bangladesh.

Raja Mohamed Affandi berkata, pihaknya juga bersedia untuk mewujudkan hospital bergerak di kawasan berkenaan.

"Dalam hal ini kita melihat apa yang diperlukan di sana. Kita tak boleh nak tampung pelarian, tapi kita dapat memberikan bantuan kepada mereka.

"Jadi, bantuan perubatan itu akan diberikan berdasarkan keupayaan kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2017 @ 7:13 PM