SITI Bandorah bersama anaknya Mohd Faridzulhelmy mengemaskan beg sebelum berangkat ke KLIA.
SITI Bandorah bersama anaknya Mohd Faridzulhelmy mengemaskan beg sebelum berangkat ke KLIA.
Siti Fatimah Nasir


Kelana Jaya: “Walaupun sedih tidak dapat menunaikan ibadat haji bersama arwah suami, saya reda dengan ketentuan Allah SWT,” kata ibu tunggal Siti Bandorah Mahalil, 43.

Dia antara 483 jemaah haji penerbangan terakhir KT80 yang berangkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Tanah Suci, jam 11 pagi semalam.

Siti Bandorah berkata, arwah suaminya Abd Azis Sarikon adalah anggota ATM yang terkorban ketika Ops Daulat di Lahad Datu pada 2013.

“Sebelum arwah suami meninggal dunia saya sudahpun mendaftar haji bersamanya, tetapi tidak menyangka dia terkorban ketika bertugas.

“Walaupun sedih dan terkesan dengan kehilangannya sehingga kini, saya akur apa yang ditetapkan Allah SWT,” katanya di Kompleks Tabung Haji, di sini, semalam.

Menurutnya, ketika mendapat tahu suaminya ditugaskan untuk Ops Daulat, dia berasa tidak sedap hati dan bertawakal kepada Allah kerana sedar pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

“Demi tanggungjawab yang perlu digalas arwah suami, saya akur walaupun sedih apabila teringat janji kami untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci bersama-sama.

“Sememangnya saya dan anak terkesan atas kehilangannya, namun saya bersyukur diberi peluang menunaikan ibadat haji tahun ini bersama anak bongsu, Mohd Faridzulhelmy, 23,” katanya.

Siti Bandorah berkata, dia menggunakan hasil peninggalan arwah suaminya untuk membawa anak pergi menunaikan haji bersama-sama.

“Alhamdulillah hasil peninggalan arwah suami membolehkan saya membawa anak ke Tanah Suci buat kali pertama sebagai penggantinya.

“Seperti jemaah lain, saya berharap memperoleh haji mabrur di samping mendoakan kesejahteraan buat arwah suami yang berkorban demi menjaga keselamatan negara,” katanya yang menetap di Semporna, Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 5:26 AM