RAHIMAH berurusan di kaunter TH sebelum berlepas menunaikan haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
RAHIMAH berurusan di kaunter TH sebelum berlepas menunaikan haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
Norazimah Narudin


Johor Bahru: “Abang...saya hendak keluar rumah ni, nak pergi ke Tanah Suci. Abang doakan kepada Allah supaya perjalanan saya ke sana berjalan lancar,” kata seorang wanita warga emas kepada gambar arwah suaminya ketika ingin meninggalkan rumah di Johor Jaya untuk berangkat mengerjakan haji di Makkah, kelmarin.

Rahimah Hasan, 65, ibu enam cahaya mata itu dalam keadaan tidak boleh berjalan kerana sakit lutut, namun mempunyai hasrat menunaikan haji bersama suaminya, malangnya orang disayanginya terlebih dulu dijemput Ilahi.

“Walaupun hasrat tidak kesampaian pergi bersama arwah suami, saya tetap bersyukur kerana menunaikan umrah bersamanya,” katanya ketika ditemui.

Rahimah antara 149 jemaah haji yang berlepas menaiki penerbangan MH8103 di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, di sini, malam kelmarin.

Rahimah berkata, dia menguatkan semangat bagi menunaikan jemputan Allah untuk mengerjakan haji tanpa suami mahupun pengiring di sisinya.

Katanya, dia melengkapkan diri dengan pelbagai persiapan seperti mendapat bekalan perubatan mencukupi sebelum berlepas.

“Saya mula-mula risau untuk ke sana seorang diri tanpa ada kawan dan teman yang mengiringi tapi kuatkan semangat dan berserah kepada Allah semoga dipermudahkan segalanya.

“Syukur, sebelum berlepas Allah berikan saya seorang kawan di sini. Saya berjumpa dengan seorang kawan yang kebetulan pergi berseorangan seperti saya selepas bersolat,” katanya.

Sementara itu, Jamaliah A Samad, 72, yang berasal dari FELDA Bukit Ramon bersyukur kerana ditemukan dengan Rahimah.

“Kami dijodohkan bertemu di sini, saya gembira menjumpai kawan. Anak saya pertemukan saya dengan kawan baru dan kami akan menjaga antara satu sama lain ketika di sana nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 6:52 AM